Wednesday, April 16, 2008

Bantu Dato Seri Abdullah penuhi segala janji kepada rakyat

SELEPAS lima minggu Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan lima negeri dikuasai pembangkang, pemimpin BN terutama dari Umno masih lagi saling menuding jari. Dengan mandat yang diberi untuk kembali berkhidmat kepada rakyat � walaupun kurang lapan kerusi daripada majoriti dihajati � BN seharusnya sudah mengorak langkah untuk memenuhi segala janji pilihan raya dengan matlamat menarik semula sokongan mereka lima tahun lagi. Malangnya, apa yang berlaku sejak 8 Mac lalu ialah pemimpin BN, khususnya di kalangan Umno, bercakaran sesama sendiri. Saban hari kedengaran tuduh menuduh di kalangan pemimpin Umno dan masing-masing cuba menyalahkan orang lain sebagai punca kemerosotan teruk BN pada pilihan raya umum lalu. Ada yang mahu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seorang saja bertanggungjawab atas kekalahan itu sedangkan mereka terlepas daripada tanggungjawab itu. Mereka seolah-olah cuba menafikan hakikat bahawa kebencian sebahagian pengundi kepada BN dan Umno yang berputik sejak sekian lama, disuburkan oleh tindak-tanduk mereka sendiri sehingga menghasilkan buah busuk pada pilihan raya umum lalu.

Sebab-musababnya, seperti diketahui ramai, adalah pelbagai. Antaranya, tindakan menghunus keris oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno mengguris hati masyarakat bukan Melayu sehingga pengundi Cina tidak mengundi BN. Masyarakat India, khususnya di Selangor, marah kepada kerajaan berikutan tindakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, meroboh kuil di penempatan Rimba Jaya sebelum pilihan raya umum lalu. Tindakan Dr Khir menghadiahkan penyapu kepada kakitangan awam, yang turut dijadikan isu dalam pilihan raya baru-baru ini, menyebabkan ramai kakitangan awam dan pengundi Melayu mengundi pembangkang sehingga negeri itu kini bertukar kerajaan. Sabotaj di kalangan pemimpin Umno sendiri turut mengubah keputusan pilihan raya umum lalu. Berapa ramai ketua bahagian dan bekas wakil rakyat yang tidak terpilih semula sebagai calon, dilaporkan berkempen untuk mengalahkan calon parti sendiri. Malah ada ketua bahagian yang tidak mengagihkan peruntukan kempen pilihan raya kepada jentera parti kerana mahu menyimpannya untuk kempen pemilihan Umno, menyebabkan penyokong akar umbi marah sehingga berlaku sabotaj.

Memang Abdullah sebagai ketua, harus bertanggungjawab atas kemerosotan BN. Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk menyalahkan beliau semata-mata. Perdana Menteri memang mempunyai kelemahan dan kita juga akui beberapa janji BN pada pilihan raya umum 2004, tidak beliau penuhi. Sehingga kini pun, beliau tidak pernah menafikan bertanggungjawab. Lebih daripada itu, hampir selang sehari beliau terpaksa menidakkan khabar angin meletak jawatan sambil berikrar untuk melakukan perubahan sehingga tiba waktunya untuk berundur menerusi proses peralihan kuasa yang tersusun dan terancang. Tetapi apakah barisan kepemimpinan Umno seluruhnya harus bebas daripada turut sama dipertanggungjawabkan? Bukankah mereka juga sebelumnya tidak melakukan apa-apa terhadap keterlanjuran beberapa pemimpin dalam Majlis Tertinggi Umno? Jawapannya ialah mereka bersama-sama bertanggungjawab tetapi memilih untuk Abdullah seorang dipersalahkan.


Apapun rentetannya nanti, pengunduran Abdullah tidak mungkin dapat menyelesaikan semua masalah. Segala-galanya tidak akan menjadi serba harum dengan hanya seorang dijadikan korban. Sama ada disukai atau tidak, ahli Umno di segenap peringkat harus sama-sama memikul tanggung jawab di atas apa saja daripada kekurangan, kelemahan, keangkuhan mahupun keterlanjuran yang membuat pengundi menolak mereka. Rakyat sebenarnya mengharapkan perubahan dan tindakan, bukannya keasyikan Umno untuk terus berbalah sesama sendiri. Segenap usaha kini harus ditumpukan untuk menghadapi cabaran lebih besar daripada kegagalan BN meraih majoriti dua pertiga. Krisis pemakanan global dan kenaikan harga minyak memerlukan perhatian serius kerajaan kerana kesannya sudah mula dirasai rakyat. Rakyat, selepas mereka 'mengajar' BN pada 8 Mac lalu, dengan penuh minat memerhatikan sama ada gabungan 14 parti dokongan Umno itu belajar daripada kesilapan lalu. Lantaran itu, Abdullah harus diberi sokongan untuk memperbetulkan keadaan dengan mengotakan segala janji memimpin dengan berwibawa.

6 comments:

Anonymous said...

Presiden UMNO bukan jawatan tetap untuk sesiapa. Pak Lah tak akan kekal sebagai Presiden UMNO. Tapi tindakan untuk mahukan Pak Lah meletak jawatan secara tergesa gesa bukanlah satu tindakan bijak. BUkan Pak Lah seorang yang harus menanggung kekalahan ini. Saya yakin bila tiba masanya Pak Lah pasti akan meletak jawatan tapi biarlah pada masa yang sesuai. Jangan terlalu yakin yang jika Pak Lah turun masalah akan selesai. Itu cerita negara tapi di negeri Terengganu saya rasa UMNO perlu memulakan langkah yang lebih keras dan agresif untuk membendung pengaruh dan kesan peralihan kuasa di Kedah dan Selangor. Walaupun praya baru selesai tapi persediaan utk praya seterusnya harus bermula sekarang. Semoga Dato' Rosol dan semua wakil rakyat UMNO benar benar menjalankan tugas bertunjangkan keikhlasan dan kejujuran kepada rakyat Terengganu. Cuba elakkan memberi kemudahan atau keuntungan yangb berlebihan kepada kroni rapat kerana ini yang akan membawa kepada masalah satu hari nanti.

kulaan said...

Assalamualaikum..Kita sebenarnya menuju kepada perpindahan minda dan ini satu perkara baru yang perlu kita selami dan hayati.Perubahan dalam Kerajaan Negeri Terengganu perlu dilihat secara positif.lihat bagaimana Lim Guan eng cuba menarik hati rakyat dengan membawa masuk orang yang seteru dalam politiknya dan akhirnya dapat membantu dia seperti Tan Sri Lim Lam Trye.
Oleh itu BN atau Umno perlu perubahan minda dan sebolehnya kita perlu sedar bahawa masalah orang melayu tidak boleh dipandang remeh.Peminpin Umno atau BN perlu selalu mendampingkan diri bersama rakyat kerana penilaian rakyat tidak seperti dulu.jangan apabila PRU baru menjelma.Serangan peribadi antara kita sepatutnya dihentikan kerana semua orang bersalah dalam penyebab ketidakstabilan politik orang melayu terutama di semanjung Malaysia.Pastikan kerajaan sekarang tidak mudah diperkota-katik oleh mereka yang mahu keuntungan atau kekayaan atas kelemahan kita terutama Partick Lim ke atau siapa saja

kulaan said...

Kebangkitan Bangsa Melayu makin pudar akibat tiada penyatuan dan semangat ingin bersatu.Orang Melayu sudah hilang taringnya umpama singa tua yang tiada gigi jika idelogi politik diutamakan daripada semangat bangsa melayu itu.Kita perlu perubahan minda dan lihat apa yang dilakukan oleh KM Penang yang menjuruskan semangat bangsanya sehingga ia sanggup mengambil seteru politiknya demi membuktikan kepada rakyat bahawa pembangunan rakyat lebih diutamakan.Adakah kita sanggup melakukan begini dalam orang melayu

smallville said...

Saya bukanlah arif sangat dalam politik ini tapi komen saya adalah daripada penilaian yang saya buat berdasarkan berita semasa. Apa yang saya rasakan kekalahan BN pada PRU 12 lalu adalah sebab ahli-ahli BN sendiri. Punca kekalahan yang YB berikan sendiri pun lebih menjurus kepada sabotaj dan sikap buruk pemimpin BN sendiri. Memang kalau nak dibandingkan dengan pembangkang lain tak banyak kemajuan yang mereka berikan, tapi rakyat terima mereka sebab sudah sekian lama tidak puas hati terhadap golongan ini. Kita tengok pemimpin MIC dan MCA yang kalah teruk, akhirnya mereka salahkan PM dan kerajaan tidak mengambil berat kebajikan mereka, dan akhirnya mereka terpaksa akur dengan KUASA rakyat. Di Terengganu sekalipun saya lihat dulu BN menang besar kini ada beberapa kerusi yang terlepas kepada PAS dan patutnya YB ambil ikhtibar untuk post moterm keadaan itu bukan sibuk nak tanda tangan memorandum menolak pilihan RAJA, sehinggakan lalu di tepi sepanduk yang menghina RAJA sendiri pun YB tak perasan. Saya bukan nak provoke YB tapi saya sayangkan kuasa MELAYU yang makin LAYU di Malaysia ini. Kita sudah maklum kejatuhan kuasa sesebuah kerajaan bukan sebab rakyat semata, tapi bermula dengan PEMIMPIN yang korup.

kulaan said...

Assalamualaikum...
Apabila Karpal Singh laknat mula menguris perasaan orang melayu seperti mana dahulu.Tiada lagi Kiai Arshad yang berani penampar atau menumbuknya,pemergiannya adalah wira orang melayu dan menunjukkan ketaatan beliau kepada Duli Yang Mulia Kesultanan Melayu.Adakah kita masih lagi seperti tunggul kayu hanya menunggu orang lalu lalang siapa bernasib malang pasti tertuging kerana melanggarnya.Kita sendiri masih terpingga-pingga dalam menunjukkan kekuatan Bangsa Melayu demi mempertahankan Kesultanan Melayu.
Ini merupakan satu ruang bagi mereka perlekehan Kesultanan Melayu dan tidak mustahil nanti kita akan kehilangan jati diri seperti negara-negara lain apabila kesatuan bangsa tidak diutamakan.
Kemana-mana perginya taring-taring kita,apakah kita hanya mampu suarakan pada poster sahaja.

makmeow said...

assalamualaikum dato'..
baru malam ni terserempak ngan blog ni..sebelum ni , saya kagum gak lah sikit-sikit pada dato'..tapi lepas baca blog ni..bila baca posting "Bantu Dato Seri Abdullah penuhi segala janji kepada rakyat" tahap kekaguman tu turun sikit..macam hambar je isi blog dato' ni..macam tak tau je orang tolak BN kerana Pak Lah yang bodoh dan malas membaca tu..tak tau ke yang mentadbir negara adalah tangan-tangan gahib KJ and the gang..leh bagi komen sikit pasal Monsun Cup,pasal Pulau Duyung yang habis dikerjakan oleh Patrik Badawi tu..pasal KJ yang tidak bekerja tapi sangat kaya..pasal ECM Libra..pasal Air Asia..paal MY Team..pasal TV3 dan NST menghina Tun Mahathir yang banyak jasa pada Malaysia, pasal Zaid Ibrahim yang menyokong IFC, pasal SCOMI milik anak Paklah, pasal Iskandar Malaysia (WPI) yang dibangunkan untuk membesarkan Wilayah taklukan Singapura..pasal PM kita yang selalu tidur..dan banyak lagi yang terlalu panjang untuk disenaraikan..Perdana Menteri macam tu ke yang patut dibantu..wakaka..wakil rakyat saya ni nak kena jual agaknya..he..he..