Friday, December 31, 2010

Tahun baru 2011,Syukur dan Sawit

Salam bloggers...Lama sungguhnya rasanya saya tidak menulis dan mencoretkan sesuatu di laman maya ini. Maaf setinggi-tingginya kepada rakan dan taulan yang saya rasa amat kecewa kerana setiap kali menrjah masuk ke laman ini tetapi ianya tidak di 'update' maaf banyak-banyak. Semuanya ini kerana ketiadaan masa yang sesuai ditambah pula ketiadaan isu atau perkara yang boleh dibangkitkan. Bermula dengan tahun baru 2011 ini InsyaAllah saya akan cuba mengupdate sekerap mungkin...orang Terengganu sebut 'kerek'...InsyaAllah.

Tidak lama lagi kita akan sambut tahun baru 2011. Alhamdulillah kita masih dipanjangkan usia untuk terus berbakti di alam fana ini. Syukur kita kepada Allah dan terima kasih kita kepada manusia-manusia yang telah banyak berbudi sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada kita. Syukur kita yang paling mulia ialah kepada pencipta dan pemberi segalanya kepada kita iaitu Allah Swt. DIA memberi segalanya kepada kita dengan percuma tanpa meminya bayaran walaupun satu sen.Cuma apa yang diperintahkan ialah amar makruf dan nahi mungkar. Itu sahaja.

Syukur kita seterusnya ialah kepada manusia yang berbudi dan berjasa kepada kita iaitu ibu bapa kita, guru-guru kita, jiran tetangga kita dan semua yang budiman kepada kita. Kerana tanpa mereka siapalah kita. Tidak lupa juga kepada pemerintah yang menjadikan negara kita ini aman, makmur dan sejahtera sehingga kita mampu mencari rezeki secara aman di bumi bertuah ini. Ditambah pula kehebatan dan kepintaran pemimpin kita yang diberi idea dan inayah oleh Allah untuk menjadikan bumi Malaysia ini bagai permata di Nusantara. Tidak hairanlah berpusu-pusu rakyat negara jiran datang sama secara sah atau sebaliknya ke sini. Alhamdulillah.

Syukur juga kita kerana harga sawit dan getah melambung tinggi. Anak buah saya di Felda Bukit Bading, Felda Mengkawang, Felda Tersat dan Felda Jerangau Barat serta pekebun kecil getah dan sawit hari ini beritahun (royat) kepada saya bahawa mereka tidak pernah mengimpikan harga komoditi setinggi hari ini. Jawapan saya hanyalah bersyukur dengan segala kurniaan ini dan jangan lupa untuk sedekahkan alfatihah kepada pemimpin yang membawa mengusahakan sawit dan getah untuk dijadikan tanaman utama negara, kerana tanpa usaha dan idea mereka saya yakin rakyat Malaysia tidak kenal sawit atau getah sementelah pula untuk dijadikan pendapatan utama. Fatihah untuk mereka...Moga mereka terus diberkati. Saya berkata demikian kerana getah berasal dari Brazil dan Sawit pula dari Afrika...

Akhir sekali syukur kerana Pasukan Bola Malaysia Johan Piala AFF Suzuki... Malaysia Hebat, Malaysia Boleh dan kita semua boleh...

Kata hukamak...'Jadilah orang yang banyak memberi manfaat bukan mereka yang banyak membawa mudarat'...Fikir-fikirkanlah

Tuesday, October 19, 2010

IDAMAN TERENGGANU...di Pentas Global

Salam bloggers... baru-baru ini saya dan Exco Kerajaan iaitu YB Dato Mat Awang Tera serta rombongan bersama dengan TIDE serta YPU berkesempatan ke Barcelona, Milan dan Paris. Juga bersama-sama kami ialah usahawan batik dan songket Terengganu. Program ini dinamakan IDAMAN TERENGGANU. Di Barcelona kami mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada wartawan fesyen,designer pereka terkenal dan usahawan tempatan. Begitu juga di Milan yang terkenal dengan kota fesyen. Nama-nama seperti Georgio Amani, Prada dan banyak lagi...amat tertarik dengan produk Terengganu kita iaitu songket dan batik. Mereka mengkagumi produk kita walaupun ada beberapa perkara yang perlu ditambah nilai untuk memasuki pasaran Eropah.

Menurut Duta kita di Sepanyol, program IDAMAN TERENGGANU ini adalah satu-satunya program yang seumpamanya dilangsungkan di Eropah. Dengan adanya program ini saya yakin ia merupakan langkah pertama ke arah memperkenalkan batik dan songket kita di persada antara bangsa dan saya amat berharap dan yakin satu masa nanti akan ada batik dan songket kita yang menggunakan jenama besar dan hebat dunia seperti PRADA, LV,ZARA dan Amani pada barangan mereka. InsyaAllah...

Tahniah kepada CEO TIDE iaitu Prof Sulaiman yang berkerja kuat mempastikan program ini berjaya mencapai sasaran juga tak lupa tahniah dan syabas kepada YB Dato Mat Awang Tera yang mencetuskan idea menembusi dan mempromosi produk Terengganu Kite di pentas global...inilah yang dimaksudkan GLOKAL...barang local dipersembahkan di peringkat global...
Tahniah semua...

...Hanya jauhari sahaja yang mengenal maknikam...Fikir-fikirkanlah..

Sunday, October 3, 2010

Malaysia,Syawal dan Galas...

Salam bloggers....Masih tidak terlambat untuk mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin...mungkin menjadi pemimpin kecil di kalangan rakan rakan dan rakyat ini ada terkasar bahasa terlanjur kata...kemaafan jua dipinta...Juga keampunan dari Allah jua matlamat akhir sebagai seorang hamba...

Terima kasih kepada seluruh rakyat dan rakan -rakan yang jauh dan dekat yang sudi datang beraya ala kadar ke teratak saya...Sebagai tuan rumah, perkara yang paling seronok apabila mengadakan rumah terbuka ialah semua juadah, lauk pauk dan makanan yang disediakan tidak berbaki dan bersisa...dan kadang-kadang tuan rumah sendiri pun tak dang nak makan...terima kasih...Yang menariknya rumah terbuka saya kali ini ialah kehadirannya amat memberangsangkan...Percubaan saya untuk golek kambing boer En Hamidi nampaknya sesuatu yang istimewa. Walaupun idea golek kambing ini datang secara tidak dirancang...

Itulah sebenarnya sesuatu yang tidak dirancang memberi impak yang baik dan mungkin ianya akan lebih baik kalau dirancang dengan teliti dan baik...Atau tidak mustahil apa yang dibuat secara adhoc memberi kesan yang lebih baik...apakah ini terjadi secara kebetulan...Mungkin kebetulan atau coincidence ini terjadi sebab telah tersurat dan saya selalu kaitkan kebetulan itu dengan keikhlasan dan keberkatan...

Berkaitan dengan keberkatan...alhamdulillah syukur kepada Ilahi kerana sepanjang syawal ini saya tidak putus-putus dijemput untuk sambutan hari raya sama ada di peringkat cawangan, JKKK, jabatan dan orang perseorangan. Terimbau saya 10 lima belas tahun dahulu betapa sukarnya untuk nak adakan sambutan sebegini....Ertinya masyarakat kita hari ini mampu untuk celebrate selama 30 hari...kata mereka oleh kerana puasa 30 hari maka raya pun mestilah 30 hari...maka sukarlah bagi mereka yang kurang rajin puasa enam untuk mencukupkannya. Ramai yang menjadikan alasan rumah terbuka untuk tidak puasa sunat 6 hari ramadan..

Beberapa hari lagi kita terutamanya orang politik akan terlibat dengan pilihanraya kecil Galas. AlFatihah untuk YB yang baru kembali ke rahmatullah. Moga rohnya dikumpulkan bersama mereka yang beriman. Macam macam spekulasi tentang calon di war warkan...Tetapi yang pasti ialah apalah malangnya zaman PM DS Najib ni kerana terlalu banyak... Dan yangbpaling pasti ialah rakyat Galas akan menggalas satu tanggungjawab lagi untuk memilih calon yang terbaik bagi mewakili mereka nanti...

...Hanya jauhari sahaja yang mengenal maknikam...Fikir fikirkanlah...

Apabila disebut hari

Sunday, August 22, 2010

Lapan atau Dua Puluh...

Salam bloggers... dan salam Ramadhan... Bulan Ramadhan menjengah lagi... Alhamdulillah kita panjatkan syukur kepada Yang Maha Esa kerana masih sudi meminjamkan kita roh dan jasad untuk kita bersua dengan Ramadhan kali ini...Di kesempatan ini marilah kita bertafakkur sejenak untuk kita bacakan Ummul Kitab tujuan untuk dihadiahkan kepada ibu bapa kita, guru-guru kita, sahabat-sahabat kita, pemimpin-pemimpin kita sama ada mereka masih hidup atau mendahului kita. Kita pasti kita akan mengikuti jejak-jejak mereka nanti. Firman Allah bermaksud... 'Apabila datang ajal kamu sesungguhnya ia tidak akan lewat walau satu saat dan juga tidak akan dipercepatkan walaupun satu saat...'

Terima kasih dengan teman setia blog saya...Putrahman... tentang cadangan untuk re premix jalan pasir nering dan Dusun... InsyaAllah akan saya bawa dalam mesyuarat Tindakan Daerah bulan depan. Kesian penduduk-penduduk kampung P Nering dan Dusun... Saya tidak tahu di mana silapnya. Tetapi saya yakin pembangunan dua kampung ini akan menjadi lebih pesat apabila jambatan Dusun dan Tg Baru siap nanti. Saya difahamkan bahawa Dusun juga akan mendapat masjid baru nanti. Cuma harapan saya agar pembangunan ini tidak dicemari dengan masalah sosial seperti dadah dan sebagainya. Kenapa saya berkata demikian kerana setakat yang saya tahu apabila jalan dan laluan dibaiki dan diperelokkan maka mudah untuk 'pusher' masuk dan menjalankan urusniaga... Nauzubillah...

Kadang-kadang saya merasa hairan kerana kampung-kampung yang mempunyai jalan mati... orang Terengganu panggil kampung 'hujung sut sekali'...ertinya tiada lagi kampung selepas kampung tersebut...masalah dadah jugak wujud di sana. Saya lagi terperanjat apabila pihak AADK dan kesihatan melaporkan bahawa di kampung-kampung tersebut ada kes HIV positif...Persoalannya di manakah silapnya.

Sempena hari baik dan bulan baik ini, marilah kita sama-sama ingat-mengingati agar kita dan keluarga kita terhindar daripada masalah nombor satu negara ini. Marilah kita berdoa agar peristiwa anak mengugut ibu untuk dapat duit beli dadah, Suami pukul isteri dan anak untuk dapatkan duit beli dadah...curah asid dan sebagainya yang berlaku baru-baru ini adalah yang terakhir di daerah ini dan di negeri ini. Sekarang bukan masanya menuding jari menyalahkan orang lain. Yang terbaik ialah menuding jari menghisab kelemahan sendiri untuk dibaiki. InsyaAllah jika kita mempunyai niat untuk membaiki diri, saya yakin Allah akan tunjukkan jalanNYA untuk kita... terutama di bulan puasa yang mulia ini.

Apabila disebut bulan puasa ia tidak dapat lari dari Terawih... Cuma saya rasa sesuatu yang agak berlainan apabila saya ke masjid dan surau untuk bertarawih dua suasana berbeza terjadi... Surau dan Masjid yang bertarawih 8 rakaat agak lebih meriah dan 'happening' dengan kanak-kanak dan remaja. Kalau begitulah halnya demi untuk menarik remaja dan anak-naka ke masjid apa salahnya kita laksanakan apa yang menarik untuk mereka...Ini sekadar pandangan peribadi saya...

Rasanya tidak terlalu awal untuk saya ucapkan selamat Aidilfitri kepada semua kenalan dan taulan dan kepada peminat blog saya. Di kesempatan ini juga dan san seluruh keluarga saya ingin menyusun sepuluh jari memohon keampunan mungkin sepanjang saya menjadi pemimpin kecil di Hulu ini ada yang terkasar kata tersasul bicara...keampunan jua saya pinta...Saya juga dengan dada terbuka memaafkan apa sahaja terhadap saya...Jika ada kelapangan dijemput ke rumah saya pada Raya Ke-2 InsyaAllah...

'...Bumi mana tak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelombang, kemapunan jua dipohonkan...'

Friday, August 6, 2010

Muliakah Tangan Yang di Bawah

Salam bloggers... Tidak lama lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak...Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan...Puasa belum mula lagi, dentuman mercun sudah kedengaran. Harap-harap tahun ini, tiada lagi peristiwa ngeri akibat main mercun...terutama di Negeri Darul Iman. InsyaAllah...Saya tidak tahu kenapa main mercun ini seakan akan satu budaya perayaan kita sejak dahulu, sekarang dan mungkin akan datang. walau pun banyak mercun dan bunga api telah dirampas oleh pihak berkuasa...Dalam hal ini peranan ibu bapa amat penting.



Apabila dikaitkan dengan ibu bapa, saya isu hangat sekarang ialah kahwin muda dan sekolah untuk pelajar hamil. Ini satu isu baru. Saya secara peribadi menyokong hasrat kerajaan Melaka memberi insentif kepada remaja yang mahu berkahwin. Ini sekurang-kurangnya akan menyelesaikan masalah sosial di kalangan remaja kita. Tetapi mereka yang ingin melangkah ke alam tersebut mestilah telah bersedia dari segi emosi, material, dan iman dan tahu tanggungjawab. Ertinya perkahwinan bukan semata-mata untuk keseronokan tetapi untuk menambah ummah nabi yang berkualiti dan mengamalkan sunnah Rasul saw dan tuntutan agama.



Berkaitan dengan agama, beberapa hari yang lalu saya dan ahli Parlimen Hulu Terengganu dijemput oleh MAIDAM Hulu Terengganu untuk sama-sama mengihkan zakat kepada Fakir dan miskin DUN Ajil. sebanyak RM250,ooo.00 diagihkan. Seorang penerima mandapat RM350.00 seorang. Kalau tahun lepas agihannya RM250.00 sahaja...Yang ironinya ialah beberapa jam selepas pengagihan tersebut, saya mendapat banyak penggilan telefon mempersoalkan kenapa ibu atau ayah mereka tidak tersenarai mereka yang layak. Sukar untuk saya memberi jawapan kerana yang mengadu itu saya kenal. Rata-rata penjawat awam bergaji lebih RM2000.00. Saya kurang pasti aduan tersebut disebabkan oleh desakan si ibu atau ayah mereka atau atas kehendak mereka.Wallahu 'Alam...



Saya juga merasa terharu kerana ada segelintir daripada penerima yang tersenarai datang berjumpa saya dan pegawai MAIDAM, memohon agar nama mereka dikeluarkan daripada penerima list zakat kerana mereka telah terkeluar dari asnaf Fakir dan Miskin. Syabas... Walaupun golongan ini tidak ramai tetapi kita doakan agar ia akan bertambah dari semasa ke semasa.



...Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah...Sampai bila kita akan menjadi bangsa yang suka meminta-minta....Fikir-fikirkanlah...

Wednesday, July 21, 2010

Perpaduan...Perpaduan...Perpaduan....

Salam bloggers...salam perjuangan...Terima kasih Jusohmatlazim, Kesidang dan Putrahman yang masih setia dengan blog saya yang tidak seberapa ini...Mesyuarat Bahagian di Negeri Darul Iman ini telah selesai. Alhamdulillah. Cuma yang agak memeranjatkan saya ialah peristiwa Setiu.. Maksud saya Bahagian Setiu yang mendapat liputan meluas daripada Media. Saya rasa semua dah tahu peristiwa yang menyentakkan itu. Apabila saya bertanyakan kekawan YB mengapa dan kenapa terjadi begitu... Jawapan yang diberi senada dan seirama...DEMI MENYELAMATKAN UMNO...Apabila diselidiki...rupanya penyakit tersebut dikatakan telah membarah...Dan masa yang paling sesuai tunjuk ialah semasa kehadiran TPM...Dan ramai pemerhati politik mangatakan bahawa ianya satu tindakan yang tepat... Betul atau tidak Wallahu 'Alam...

Isu perpaduan juga hangat...Perpaduan UMNO dan PAS atau dengan kata lain perpaduan orang Melayu... Saya mahu pandangan ikhlas kawan-kawan...

Saturday, July 3, 2010

UMNO dan Perjuangan

Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu... DS Hishamuddin datang merasmikannya.Hidup UMNO, Hidup Melayu dan Hidup BN berkumandang dengan hebatnya di Dewan MDHT. Semangat juang arwah Tokkinya Onn Jaafar nampaknya masih membara. Semangatnya disalurksalurkan kepada pejuang dan pemimpin politik HTrg.Beliau berkongsi pengalaman tentantentang UMNO kawasan Negeri yang kalah dengan UMNO di negeri yang menang...Kesimpulannya ialah Bukannya Pembangkang kuat tetapi UMNO yang lemah kerana masalah dalaman. Barah dari dalam perlu diubati segera...Betul atau tidak tanyalah kepada diri sendiri. Wallahu Alam...

Tuesday, May 18, 2010

Cikgu Oh Cikgu...SELAMAT HARI GURU...

Salam bloggers... terima kasih Putrarahman dengan komen yang diberi. Secara jujurnya saya amat -amat bersetuju dengan pandangan tersebut. Sesuai dengan pepatah Inggeris bahawa ' Busuknya ikan bermula dari kepala'... Cuma saya sebagai insan yang lemah hanya mampu mendoakan agar saya tidak menjadi punca kepada 'ikan yang busuk itu'...Amin...

Masih tidak terlambat untuk saya untuk 'wish' selamat Hari Guru kepada semua guru-guru budiman yang bertungkus lumus mendidik anak bangsa. Khusus ucapan ini kepada rakan-rakan cikgu sama ada di Terengganu atau di luar Terengganu. Pengalaman saya sebagai guru banyak mengajar saya dalam bidang politik ini. Atas zat cikgu Alhamdulillah saya mampu menang dalam percubaan pertama pilihanraya 1999 semasa tengah hebat gelombang reformasi. Saya yakin bahawa ramai rakan-rakan cikgu di Hulu Terengganu banyak membantu saya ketika itu. Pada saya jasa dan budi para guru terhadap saya dan keluarga terlalu agung dan tidak mampu untuk saya membalasnya. Apa yang dapat saya simpulkan bahawa dalam dunia perguruan wujud nilai-nilai murni seperti setiakawan, jujur, dan sanggup berkorban apa sahaja yang mana ciri-ciri ini kurang kedapatan dalam dunia politik. Ertinya betapa murninya jiwa guru...

Sempena dengan sambutan Hari Guru ini saya seperti biasa menghantar sms kepada semua rakan-rakan cikgu yang saya kenal...Alhamdulillah nampaknya rakan-rakan cikgu masih mengingati saya dan membalas sms saya. Saya merasa amat bangga dan terharu dengan ingat dan balasan tersebut... Di bawah ini saya senarai antara balasan sms yang saya terima daripada kawan-kawan dan bekas-bekas pelajar saya yang cukup mengesankan saya.

... Cikgu Safaruddin PPD Hulu Terengganu...'Banyak dapat bunga, Tandanya tugas guru mengharumkan dunia, Dapat Pen...Tanda guru bijak melakar kata, Dapat Pemadam tandanya guru membetulkan yang dusta... Dapat mesej tandanya guru sentiasa diingatan...SELAMAT HARI GURU'

...Cikgu Halizan SMK Seri Berang...(My ex student)...
Dalam ajarnya ada harapan, Dalam tegurnya ada doa, dalam marahny ada sayang, Dalam tawa ada mesranya, dalam diam ada bijaksana, Dalam tangannya kita terbina...Selamat Hari Guru...TERIMA KASIH CIKGU

...Cg Idris Bidin (PPD Dungun)...Guru baikan NTV7 kerana Ceria selalu, Guru juga kadangkala seperti TV3 kerana menjadi Inspirasi Hidupku,Yang pasti guru jua bagaikan TV9 Dekat Di Hati, dan yanmg paling penting guru juga bagaikan Pakage ASTRO kerana Macam macam Ada...Happy Teachers Day...

...Ustaz Ku Apwa (SMUA SZA)...Ilmu dijunjung Guru di Sanjung...Selamat Hari Guru..

...Cikgu Nik Azman (SMK Ajil)...Guru, engkau menyinar ummah dengan sinaran ilmu dan hikmah;engkau memikul amanah membentuk generasi Fatonah; menjadi contoh mithaliah, dengan sifat mulia terserlah; sabar menghadapi mehnah;meskipun selalu terfitnah, tetap utuh jiwa mujahadah kerana menyakini janji ALLAH, setiap amanah yang dilaksana sebaiknya kerana Allah, ganjaran menanti adalah JANNAH..Selamat Hari Guru kepada semua yang berjiwa guru...

...Ayahnda Ustaz Yahya Chik (Manir)...Guru sekadar lilin, membawa cahaya sinaran kudus...ALLAH...Kekasih...Selamat Hari Guru.

... Ustaz Rozali Mamat (Ex Pengetua MRSM K Berang)...A Teachers achievments is not how many A's or B's he or she produce but how nmany lives seh or he changes and how many hearts she or she touches....

... Ciku Man (SMA Tok Jiring)...Bila murid duduk, cikgu berdiri; Bila murid diseligi cikgu pulak kena gari; Murid datang naik BMW 7 siri, cikgu datang naik motor buruk road tax pun dah mati... Murid pi belajar sampai Ph D, cikgu baru berkira-kira nak sambung degree... Namun begitu... di dunia cikgu berbakti, moga di akhirat syurga kita kekal abadi... selamat Hari Guru..

...Cikgu Zulkifli Jusoh (Kolej Teknologi Bestari...my ex teacher)...Terima kasih atas ingatan. Rahmat bagi guru apabila anak didik mengingati dan mnedoakan guru. Selamat Maju Jaya dan sentiasa di rahmati...

...YB Cg Zawawi (ADUN Kuala Berang)...Kalau hari ini seorang raja naik takhta, Presiden sebuah negara... Sejarahnya dimulakan oleh guru biasa... Selamat Hari Guru...

Inilah sahaja beberapa nukilan kreatif kawan-kawan cikgu untuk tatapan dan renungan kita bersama yang mampu saya rakamkan dan banyak sekali yang sms kepada saya ...'Once you are a teacher, always a teacher.' Walau bagimanapun terima kasih kerana masih sudi berhubungan dengan saya...

Kata pepatah Arab 'Sesungguhnya hampir seorang guru itu dengan tugas para Rasul'...Fikir-fikirkanlah..

Thursday, May 13, 2010

Macam Ubi atau Keladi... Dirgahayu UMNO

Salam bloggers... Dua hari lalu Ahli UMNO menyambut Hari Jadi UMNO yang ke 64 tahun. Hari kejayaan orang Melayu menentang Malayan Union. Hari kejayaan orang Melayu keluar dari kepompong kenegerian dan kedaerahan. Keluar dari 'Divide and Rule' Penjajah. Syukur kepada Allah kerana kita di kurniakan Pemimpin-pemimpin yang baik dan berwawasan yang memikirkan nasib anak bangsa agar tidak selamanya tidak terjajah. Pemimpin yang meletakkan perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air melebihi segala-galanya. Dan bertambah-tambah lagi syukur kerana pemimpin-peminpin tersebut mempunyai pengikut dan rakyat yang setia dan dengar kata. Siapalah pemimpin dan ketua tanpa pengikut yang setia dan 'loyal'...

Saya dan keluarga juga ingin mengucapkan rasa syukur dan penghargaan setinggi-tingginya kepada Allah yang memberi ruang dan kesempatan kepada saya untuk mendapat nikmat daripada perjuangan UMNO ini. Perjuangan suci dalam memartabatkan Alif, Ba, Ta...Lantaran itu dalam semua tindakan saya InsyaAllah saya tidak pernah mengenepikan asas perjuangan untuk Alif, Ba, Ta...Perjuangan yang mampu meletak Bangsa kita hari ini boleh dibanggakan walaupun masih jauh perjalanan kita dan masih banyak yang perlu dibaiki dan di tambah nilai.

Saya yakin apa yang saya coretkan ini akan dipandang remeh oleh pembangkang. Mereka akan cuba menafikan sejarah. Dan lebih malang lagi mereka akan mereka-reka sejarah agar parti mereka dikaitkan dengan perjuangan ini. Mereka akan menamakan beberapa tokoh mereka yang kononnya adalah pejuang kemerdekaan. Yang ironinya mereka juga berpandangan bahawa perjuangan bangsa adalah Assobiyah...Ada juga pendapat bahawa kita telah dilahirkan Merdeka...jadi tidak perlu lagi berjuang untuk merdeka.... Wallahu Alam...

Kembali kepada umur UMNO... yang telah mencapai 64 Tahun...Sesetengah daripada kita pada peringkat umur ini ada yang telah nyanyuk dan ramai yang telah meninggalkan kita. Pun begitu kita jangan lupa terdapat juga mereka yang berada pada peringkat umur ini masih kuat dan produktif. Saya mengharapkan agar UMNO tergolong dalam kumpulan kedua iaitu kuat dan produktif...Seperti kata orang tua-tua...'Macam keladi, makin tua makin menjadi' dan bertambah berkat...Atau macam ubi, makin lama makin berisi...Kemenjadian dan keberisian ini dapat kita lihat dan nikmat pada hari ini...Syukur setinggi-tinggi kepada Allah dan terima kasih kita kepada manusia dan menjadi wahana kepada semua ini...

Untuk meneruskan kemenjadian dan keberisian ini, adalah wajar orang-orang UMNO termasuk saya bermuhasabah kendiri dan merenung apakah keistimewaan dan kehebatan pemimpin-pemimpin Melayu terdahulu...Saya dapat rasakan kehebatan mereka terletak kepada keikhlasan dan kebijaksanaan.. Kerana keikhlasan perjuangan mereka maka Allah anugerahkan kebijaksaaan dalam akal mereka dan keberkatan dalam semua kerja buat mereka. Saya mendoakan agar Allah juga menganugerahkan kebijaksanaan dan keikhlasan dalam perjuangan kepada saya dan pemimpin UMNO sekaliannya..Amin...

...Teringat saya kepada kata-kata seorang sahabat...' Dunia hari ini, ramai orang bijak tetapi sukar untuk mencari yang ikhlas...'Fikir-fikirkanlah

Wednesday, April 7, 2010

Rumahtangga dan Anak-anak

Salam bloggers...salam sejahtera dan salam satu Malaysia. Hari ini hari kedua sidang DUN Terengganu Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri yang Kedua Belas. Banyak isu rakyat di bangkitkan. Pihak Pembangkang mengajukan soalan yang memang diramalkan iaitu isu keruntuhan...Stadium Runtuh, Dewan Sekolah runtuh, UMT runtuh dan banyak lagi...Ada YB pembangkang menggelarkan Terengganu Darul Runtuh...Ada yang mengatakan ada penyelewengan dsb. Soalan tersebut dijawab oleh kerajaan dengan panjang lebar. Pun begitu saya yakin pembangkang masih tetap akan menggunakan isu ini dalam ceramah-ceramahnya. Dan sudah pasti akan ditambah di mana-mana untuk menyedapkan lagi cerita.

Wakil Bukit Payung membawa usul tergempar dalam dewan pada hari kedua. Isu Mat Rempit...Pada saya isu tersebut bukan isu besar di Negeri ini. Isu besar kita dan bangsa dan agama kita sekarang ialah isu Dadah dan Pil khayal. Oleh kerana isu tersebut memang tidak berapa mustahak maka dewan menolak usul tersebut. Pun begitu saya yakin isu ini akan dijaja di dalam ceramah mereka betapa UMNO dan BN tidak serius dalam menangani isu Mat Rempit. Tak apalah Memang kerja mereka begitu. Cuma yang penting ialah rakyat tidak mudah ditipu. Rakyat Terengganu sekarang sudah pandai memilih antara beruk dan kera dan antara batu dan permata.

Kerajaan secara istiqomah dan berterusan berusaha memartabatkan orang Melayu dan agama Islam. Kita tidak hanya bersyarah dan berceramah. Kita tunai apa yang kita janjikan kepada rakyat. Kita tidak pernah buat janji kosong. Cuma masa sahaja kadang-kadang lambat dan kadang-kadang cepat untuk dilaksanakan. Yang pasti, Kerajaan akan melaksanakan apa yang dikatakan. Kata mesti di kota. Kalau tidak kita akan dituduh munafikiin... Nauzubillah.

Pembangkang juga sering menuding jari menyalahkan kerajaan apabila terjadi sesuatu yang negatif. Gejala dadah kerajaan disalahkan, gejala rempit, kerajaan disalahkan, gejala sosial, kerajaan disalahkan, anak ditangkap dan di penjarakan juga kerajaan disalahkan...Amat malang nasib kerajaan yang memerintah. Anak tidak sah taraf juga kerajaan disalahkan...

Ada Ahli YB membangkitkan isu anak tidak sah taraf ini, dijawab oleh kerajaan bahawa ia adalah masalah bersama. Kes tersebut juga wujud di negeri yang ditadbir urus oleh Pembangkang. Kes ini tidak mengenal siapa yang menerajui sesebuah negeri kerana ia berpunca daripada rumah. Hadis Nabi ada menyatakan bahawa Ibu Bapalah yang menjadikan anak yang bersih itu Yahudi, Nasrani atau kristian...bukan kerajaan atau pihak lain.

'...Rumah tangga yang bahagia adalah sekolah yang paling berkesan kepada setiap anak-anak dan ibu bapa adalah guru yang terbaik untuk anak-anak ...'Mahatma Ghandi....Fikir-fikirkanlah...

Thursday, March 25, 2010

Tanah dan Maruah

Salam bloggers... salam satu Malaysia dan salam sejahtera...terima kasih kepada rakan yang hantar komen dan pandangan. Terima kasih Jusohmatlazin, Tok Raja Ri dan Kenyir...Cuma saya tertarik dengan komen kenyir... saya harap beliau dapat hubungi saya tentang masalah tanah lot. Saya kurang pasti tanah lot yang mana satu. InsyaAllah saya akan buat yang terbaik untuk kebaikan semua. Itulah amanah yang diberikan kepada saya. Kepada orang Melayu, tanah adalah maruah. Ramai saudara dan adik beradik berkelahi kerana tanah. Terutamanya tanah pusaka. Ini sesuatu yang amat memalukan. Rata-rata bila ditanya kenapa hubungan keluarga renggang...jawapannya tak lain dan tidak bukan, kerana masalah perebutan harta dan pusaka. Nauzubillah...Harap-harap generasi muda Melayu khususnya Melayu Terengganu tidak akan lagi tergolong dalam kemelut ini InsyaAllah...



Jawatankuasa Tanah Daerah Hulu Terengganu bermesyuarat sebulan sekali untuk meluluskan permohonan tanah rakyat Hulu Terengganu. Kadang-kadang apabila permohonan terlalu banyak, mesyuarat diadakan 2 kali seminggu. Ada permohonan untuk tanah haram, untuk tapak rumah dan untuk pertanian. Alhamdulillah kami JK Tanah Daerah setakat ini meluluskan semua tanah yang memenuhi syarat permohonan. Dan di Ajil, kita menyediakan tanah dan rumah untuk PPRT. Setakat ini 10 buah telah siap dan diduduki dan 5 buah lagi dalam pembinaan. Tapaknya bersebelahan Kilang Latitude Tree kawasan industri Ajil. Rumah dan tanah diberi percuma. Betapa baiknya hati dan kerajaan BN diterajui UMNO... Alhamdulillah. Nampaknya mereka bersyukur kerana memiliki rumah tersebut. InsyaAllah kita akan tambah lagi pembinaannya dalam masa terdekat.



Berkenaan dengan permohonan rumah PPRT ini, saya mendapat banyak pertanyaan kenapa kerajaan mensyaratkan mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas sahaja yang boleh memohon. Ini adalah syarat baru. Jawapannya ialah mereka yang kurang 40 tahun dianggap masih muda dan mampu untuk berdikari. Di samping itu kita juga ingin mendidik agar jangan terlalu bergantung kepada kerajaan dalam usia yang masih gagah dan tubuh segor-megor...Lainlah kalau OKU. Begitu juga kita akan rasa malu ke diri sebab masih muda duduk di rumah subsidi. Saya teringat kata-kata seorang sahabat 'bahawa orang Acheh tidak ada yang menjadi peminta sedekah, sebab mereka merasa terhina dan tidak bermaruah dengan pekerjaan tersebut' Sejauhmana benar cerita sahabat saya itu...Wallahu Alam...



Tentang tanah dan rumah juga saya ingin war warkan bahawa pejabat tanah akan mengadakan temuduga kepada mereka yang layak untuk memiliki rumah PPSK Menerong yang masih kosong 35 buah lagi. JK menggariskan antara syaratnya ialah keutamaan diberi kepada penduduk sekitar Menerong, Gunung, Betong dan kawasan yang sewaktu dengannya. Kenapa? Jawapannya kerana tanah asal penempatan tersebut di terokai oleh nenek moyang daripada kampung-kampung tersebut. Maka adalah wajar keutamaan diberi kepada anak cucu mereka. Tapi JK telah dapat merasakan betapa 'rohok' untuk membuat pemilihan nanti. Cuma saya minta kerjasama Felcra Wilayah Terengganu agar mengambil tindakan kepada mereka yang telah dapat rumah tersebut pada fasa pertama dulu tetapi masih tidak tinggal di situ. Ini tidak sepatutnya terjadi.

'... Manusia yang baik ialah manusia yang banyak manfaatnya kepada manusia lain'...Maksud hadis...Fikir-fikirkanlah

Saturday, March 13, 2010

Bukan Senang Nak Senang

Salam bloggers..salam satu Malaysia...Terima kasih kepada kawan-kawan dan peminat blog saya ini. Pengunjungnya semakin meningkat Alhamdulillah walaupun saya kurang berkesempatan untuk mengemaskini dengan kerap. Terima kasih Afiq, kenyir, putrarahman dan anti rosol.. Saya dapat merasakan bahawa saudara saudara walaupun memberi pandangan negatif dan prejudis tetapi saya tetap menerimanya dengan syukur. Kerana saya tahu bahawa saya tidak maksum.

Apa yang saya tulis di sini berkenaan apa-apa tajuk pun adalah pandangan peribadi saya setelah saya mendengar dan berbincang dan berbual bersama rakan-rakan. Jadi hasil daripada perbincangan sama ada secara langsung atau tidak langsung itu saya analisis dan saya buat rumusan sendiri. Saya sebagai pemimpin kecil di Hulu Terengganu ini...setakat ini telah melaksanakan beberapa agenda untuk rakyat. Secara umumnya saya merasakan agak puas walaupun masih banyak yang belum selesai.

Berkenaan dengan peneyelesain tanah yang tertunda hampir 30 hingga 40 tahun Alhamdulillah telah selesai. Tanah Kelompok di Jak, di Bukit Apit dan di Sungai Binjai telah selesai. Tanah kubur baru di Jak dan Sungai Mali juga selesai. Kesian penduduk Sungai Mali yang terpaksa menumpang kebumi di kampung Bukit Perpat dan Wakaf Tapai. Perlu dimaklumkan bahawa ini bukan usaha saya secara solo. Saya dibantu oleh kawan-kawan di Pejabat DUN dan Pejabat Tanah dan Pejabat Daerah di samping JKKK. Mereka banyak membantu. Tiada apa yang mampu saya ucapkan kepada mereka selain ucapan setinggi-tinggi terima kasih. Budi kalian hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya Insya Allah.

Sedikit masa lagi bandar Ajil akan tersergam. Ditambah pula dengan siapnya jalan dua hala Kuala Terengganu- Kuala Berang. Dan 'interchange' LPT 2 juga akan terbina di Ajil... Nampaknya bertuah sungguh orang dan masyarakat Ajil. Ini semua anugerah Allah swt. Cuma berapa ramaikah antara kita yang mampu bersyukur. Kedai belum lagi dibina tetapi telah ramai mereka yang berminat untuk memilikinya. Saya serah kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikannya.

Saya juga merasa bersyukur dengan kerjasama rakyat Ajil maka tiada masalah besar yang timbul. Pada saya pemimpin-pemimpin kampung dan cawangan di DUN Ajil cukup hebat dan berwibawa. Alhamdulillah hari ini saya boleh berbangga tiada lagi rumah orang Ajil yang beratap daun dan bertiang bulat. Membasmi kemiskinan adalah agenda peribadi saya kerana saya berasal dari keluarga miskin. Saya tahu dan mengerti apa itu miskin... kerana saya mengalami dan melaluinya.

Lantaran itu saya yakin dengan Firman Allah bahawa Allah akan mengangkat beberapa darjat orang-orang yang berilmu dan beriman. Dengan pendidikan dan ilmu kita dapat mengangkat martabat kita dan bangsa kita. Dengan bantuan kerajaan melalui JPA, saya mampu ke peringkat tertinggi walaupun sekadar Sastera dan Sains Sosial. Kerana saya yakin tanpa bantuan kerajaan ayah dan keluarga saya tak mampu untuk menghantar saya ke sana. Alhamdulillah... syukur saya kepada Allah dan terima kasih saya kepada ibu ayah dan kerajaan BN.

Hari ini saya bangga kerana ramai anak Melayu yang mendapat 'straight A's'.. Tahniah anak-anak sekelian...Kejayaan anda adalah kejayaan Umat Melayu Islam. Pesan saya agar jangan lupa daratan dan banyak-banyaklah bersyukur dan laksanakan sujud syukur. Perjalanan anak-anak baru saja bermula dan ia masih terlalu jauh untuk sampai...SELAMAT MAJU JAYA...

...'Bukan senang untuk senang...' Fikir-fikirkanlah

Sunday, February 28, 2010

Jauhari dan Maknikam..

Salam bloggers...salam maal hijrah...Sekali lagi kita sambut ulangtahun peringatan hijrah Rasul saw...insan rabbani yang terulung dan terunggul... Salawat dan salam keatas baginda serta keluarga...Saya sentiasa mendoakan agar diri saya, keluarga dan rakan-rakan bloggers semua tidak terpesong daripada akidah bawaan Rasulullah pemimpin sepanjang zaman... InsyaAllah...

Terima kasih kepada Putrarahman, Matgok dan rakan-rakan yang lain yang masih setia dengan blog saya. Saya percaya ramai dikalangan rakan cikgu yang surf blog ini. Dan tidak kurang rakan-rakan lain yang mengenali saya juga minat blog ini. Ramai rakan-rakan yang bertanya kenapa saya lambat update blog ini... Maaf banyak-banyak kerana pertama tiada idea yang mahu di'share' dan kedua kerana kekangan masa.

Pertanyaan Putrarahman tentang e book...sebenarnya saya tidak menentang,jauh sekali membangkang... tetapi secara personal saya rasakan duit puluhan juta tersebut adalah lebih baik jika digunakan untuk upgrade makmal komputer yang sedia ada di sekolah. Atau mewujudkan makmal komputer baru bagi mana-mana sekolah yang masih belum ada makmal tersebut. Alasannya ialah;
a)Komputer didalam makmal mampu digunakan oleh lebih ramai pelajar.
b)Pihak sekolah senang untuk memantau penggunaannya. Penyalahgunaan mampu diminimakan
c)Proses maintenance lebih mudah. Dimaklumkan telah banyak yang rosak.
d)Masalah sumber elektrik dalam kelas tidak akan timbul kerana penggunaan komputer hanya di dalam makmal sahaja. Sekarang guru-guru merungut e book yang tidak bercas dirumah menimbulkan masalah ketika proses P n P.
e)Isi kandungan e book ialah buku teks..yang mana ia telah disediakan oleh pihak kerajaan Malaysia. Ini bermakna kerja bertindih.
f)Sampai bilakah kerajaan akan menyediakan e book ini dengan belanja yang begitu besar.
g)Apakah e book ini diberi pinjam atau diberi milik?

Saya mengakui bahawa e book adalah satu idea dan tindakan yang bagus dan terkini. Cuma beberapa rakan guru berpendapat adalah lebih baik sekiranya pihak kerajaan memilih beberapa buah sekolah sebagai pilot projek untuk mengkaji keberkesanannya sebelum dilaksanakan di seluruh negeri...Wallahualam...

'Hanya Jauhari sahaja yang mengenal maknikam'....Atau pepatah satu Malaysia...Hanya Johari sahaja yang mengenali Maniam...Fikir-fikirkanlah...

Monday, February 1, 2010

Jawatan itu Amanah atau Kuasa?

Salam bloggers...terima kasih Kenyir, Cegar, Ahmad dan rakan-rakan...Terima kasih kerana mengingatkan saya. Islam adalah agama nasihat dan ingat-ingat sesama kita. Saya tahu saya banyak kelemahan dalam diri saya. Pun begitu saya ada maruah dan prinsip . Maruah dan prinsip tidak ada nilai dan harganya. Saya selalu mendoakan agar diri saya tidak tergolong dalam golongan bodoh lagi sombong..Nauzubillah. Sebab itu saya suka mendekati golongan yang kurang bernasib baik untuk mendengar rintihan mereka. Baru sekejap lagi saya mendengar luahan seorang sahabat yang berpesan kepada saya... Dia menasihati saya kalau ada ruang agar menyampaikan hasrat rakyat terbanyak...Bagitahu kerajaan agar jangan lagi menaikkan harga minyak. Kerana kenaikan minyak maka perkara dan barang-barang keperluan akan naik.. Ini semua orang tahu. Persoalannya sejauhmana kerajaan mampu membendung kenaikan harga minyak. Saya berjanji akan membawa hal tersebut kepada YB Ahli parlimen. InsyaAllah...

Saya merasa bersyukur dengan nikmat yang di beri kepada saya dan keluarga dan saya juga bersyukur kerana telah sedikit sebanyak menabur bakti kepada rakyat Hulu Terengganu dan Ajil khususnya. InsyaAllah sedikit masa lagi bandar Ajil akan terbangun. Sedikit sebanyak saya merasa berpuashati dengan khidmat ini. Walaupun masih banyak lagi agenda yang masih belum selesai... tetapi saya akan buat yang terbaik. Saya sedar bahawa kuasa yang dipinjamkan kepada saya adalah untuk sementara. Saya teringat tulisan Shanon Ahmad yang mengatakan Jawatan itu terbahagi dua...satu Amanah dan kedua jawatan itu Kuasa. Terpulang kepada individu untuk memilih yang mana satu. Kalau kita merasakan Jawatan ini sebagai Amanah maka InsyaAllah, Allah akan beri petunjuk tetapi jika kita gunakan Jawatan sebagai kuasa maka tunggulah ujian-ujian Allah kepada kita.

Sebab itu setiap masa saya mendoakan agar Allah beri petunjuk dan menjauhkan saya dari perkara yang dimurkaiNya...

Saturday, January 30, 2010

Baikkah Pemimpin Zalim?

Salam bloggers... terima kasih kepada sahabat-sahabat yang masih setia dengan blog saya. Terima kasih kepada putrarahman dan afiqsyahmir...Juga kepada Ahmad. Walaupun dikatakan bahawa UMNO dan PAS tidak mampu mengatasi masalah sosial yang semakin parah... Saya berpendapat bahawa isu ini sudah lama disebutkan. Cuma kali ini dikaitkan dengan PAS... Kalu dulu orang dan penyokong pembangkang menyalahkan kerajaan...Cuma kali ini nadanya agak lain...

Bagaimana kalu saya mengatakan bahawa isu ini adalah isu keluarga. Bukan isu dan tanggungjawab kerajaan sahaja. Kalau keluarga mengambil berat hal anak-anak mereka pasti masalah bohsia, rempit dan sewaktu dengannya tidak mungkin akan berlaku... Perlu diingat bahawa gejala ini tidak mengenal batas politik. Satu lagi dikatakan bahawa majoriti yang terlibat adalah bangsa melayu....saya dimaklumkan oleh rakan-rakan bukan melayu...rupa-rupanya bangsa mereka juga mengahadapi masalah yang hampir sama...cuma mereka tidak melaporkan kepada pihak berkuasa terutamanya kes rogol...sejauhmana betrul...wallahu 'alam...

Saya agak kurang setuju dengan saudara yang mengatakan saudara tidak berpolitik...atas pagarlah katakan...Perlu diingat bahawa jika politik tidak stabil, pasti negara tidak aman dan apabila negara tidak aman maka semua aktiviti akan terjejas...Saya teringat kata-kata pendeta...Seratus Tahun di bawah kerajaan zalim adalah lebih baik daripada sehari dibawah kerajaan huru hara...'

Ketika saya menatap ungkapan ini, saya agak was-was...kurang yakin...tetapi apabila membaca dan melihat perkembangan yang berlaku di Iraq, jelas kebenaran kata-kata pendeta itu...kerana ketika Saddam dikatakan zalim memerintah Iraq...Pada waktu itu pembangunan berjalan lancar, kanak-kanak dapat bersekolah, rakyat mampu menjalankan aktiviti sebagaimana biasa. Para pekerja ke pejabat dengan selesa..Kemudahan asas disediakan.. air, elektrik dan jalan dibina...Tetapi malangnya nasib rakyat Iraq pada masa kini...kematian di mana-mana...nyawa terlalu murah. Sekolah ditutup, sumber air tercemar dan macam-macam lagi...

Secara perbandingan zalimkah pemimpin-pemimpin kita?...Fikir-fikirkanlah...

Thursday, January 21, 2010

Graf Kehidupan

Salam bloggers... Banyak isu yang sedang hangat dan masih hangat...Terbaru isu Cas keting atau orang Terengganu kata Peteh Keting... Ini dikatakan serius dalam PAS Kelantan katanya. Sejauhmana betul hanya Allah sahaja yang tahu. Tetapi daripada pemerhatian didapati ianya semacam perancangan kalau pun tidak kebetulan... Bermula dengan isu menantu, isu menunaikan haji, isu kerajaan kena bayar denda, isu kebocoran maklumat Exco dan terkini isu Cas Keting...

Nampaknya isu-isu ini kalau tidak ditangani dengan berhemah dikatakan mampu menggugat kestabilan kerajaan negeri. Cerita-cerita diriwayatkan bahawa pertembungan dua Exco senior juga semakin panas. Masing-masing dikatakan mempertahankan prinsip dan pegangan dengan asas masing-masing. Dan masing masing mengaku berada di pihak yang benar...Wallahu 'Alam...

Walau apa pun tafsiran, saya berpendapat bahawa ini adalah lumrah kehidupan manusia sejagat. Ramai yang beringat-ingat ketika susah, berbelanja ala kadar ketika cukup makan dan bermewah ketika kaya...Begitu juga halnya dalam politik...berkorban apa sahaja untuk awal perjuangan, merealisasikan agenda perjuangan ketika matlamat telah tercapai dan menjadikan matlamat perjuangan untuk kepentingan peribadi ketika parti dikatakan kaya dan mantap...kemudian ia akan berakhir dengan kejatuhan...Inilah dinamakan graf kehidupan...Permulaan yang mendatar dan sedikit naik....Kemuncak yang cemerlang dan gemilang dan Kejatuhan yang merudum...

Saya yakin penyakit yang dihidapi oleh PAS ini pasti dilalui dan telah dilalui oleh parti-parti lain sama ada parti tersebut masih aktif atau telah berkubur. Persolannya ialah jangka masa yang diambil oleh sesebuah parti untuk melalui graf kehidupan ini. Ada yang mungkin mengambil masa 10 tahun sebelum merudum, dan ada yang melangkui satu abad... Dan saya pasti tidak ada sebuah pertubuhanpun yang tidak akan melalui graf ini...

Kata pendita...'Kesusahan adalah ujian dan cubaan... tetapi jarang manusia sedar bahawa kekayaan dan kesenangan juga satu ujian'...Fikir-fikirkanlah

Thursday, January 7, 2010

F5E dan Herald dan Wain

Salam bloggers...Terima kasih kepada semua peminat blog saya. Terima kasih dengan komen yang diberikan. Semoga ia mendatangkan satu pengalaman dan pengetahuan baru untuk kita dan untuk saya khususnya. Terima kasih juga kerana masih setia dan terus men'surf' blog ini. Sekurang-kurangnya ini satu wahana yang mampu saya berhubung dan bertukar idea dengan teman-teman dan kawan-kawan di zaman ICT ini. Sekali lagi syukran jazila...

Sekarang isu nama ALLAH menjadi satu isu hangat. Demo dan laporan polis diadakan di mana-mana. Keputusan mahkamah agar Herald menggunapakai nama tersebut dalam majalah mingguannya, menimbulkan suasana tidak senang umat Islam di negara ini. Parti pembangkang juga kelihatan nampaknya tidak konsisten dalam hal ini. Ada sebahagiannya menyokong dan tidak kurang yang membantah. Esok hari jumaat dikatakan akan diadakan himpunan besar-besaran membantah keputusan tersebut. Sekejap tadi PM mengingatkan masyarakat agar jangan mensensasikan isu tersebut kerana bimbang sesuatu yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam akan meletus. Dalam hal ini nampaknya pemimpin dan orang UMNO agak konsisten membantah keputusan mahkamah yang masih dalam rayuan itu.

Kita juga dikejutkan dengan kehilangan enjin jet F5E...pelik tapi benar kata seorang rakan saya. Sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi. Hari ini mereka yang terlibat telah dibawa ke mahkamah. Tetapi rata-rata merasa kurang puas kerana tidak mungkin pegawai serendah itu sahaja yang terlibat. Kata mereka lagi....Kalau betul begitu... nampaknya betapa rapuhnya sistem kawalan keselamatan tentera kita sehingga 2 buah enjin bisa di bawa keluar dengan mudah dan di bawa ke luar negara...Wallahu 'Alam

Satu lagi perkara yang terlintas dalam benak saya ialah isu Barry Wain seorang penulis yang menjadikan TUN M sebagai sasaran. Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk menjatuhkan imej pemimpin yang dikagumi oelh seluruh dunia, khususnya dunia Islam...Alhamdulillah rakyat kita tidak melatah dan mengetahui jasa dan kehebatan Tun M...Pun saya yakin maklumat yang didapati oleh Barry Wain mungkin daripada orang Malaysia yang berkepentingan...

...Hari ini tiada perkara mustahil dalam alam ini...Fikir-fikirkanlah

Barry Wain dan 3L