Saturday, December 26, 2009

Yang Benar Itu Pahit....

Salam bloggers...Selamat Maal Hijrah dan semoga tahun 1431H ini akan memantapkan hubungan silaturrahim sesama umat sebagaimana bersatu dan berpadunya umat Muhajirin dan Ansar. Perpaduan tersebut adalah perpaduan sampai mati kerana Allah swt. Saya mendoakan agar hasrat tersebut mampu dicerna dalam keadaan umat Melayu yang ramai ini semakin terbelah dan berpecah. Kita boleh berbeza pendapat dan pandangan. Kita boleh berbeza parti dan sokongan tetapi kita tidak boleh untuk terbahagi-bahagi walau dengan apa alasan. Kita masih ketinggalan dalam banyak bidang. Lebih malang lagi sekarang ada pihak dengan lantang persoalkan isu kepercayaan dan pegangan kita, bahasa kita dan biasiswa anak-anak kita....

Begitu juga halnya dengan sidang DUN Terengganu yang lalu...bermula 21 hingga 23hb yang lalu... pandangan rakan-rakan ADUN seperti YB Alias Alor Limbat, YB Dato Din, YB Ramli Noh dan rakan-rakan yang sempat berucap bertujuan tidak lain tidak bukan untuk membetulkan keadaan dan suasana. Mereka mengutarakan apa yang mereka dengar dan alami di dalam kawasan masing-masing. Contohnya YB Dato Din menyuarakan rasa kurang puashati tentang kelulusan lombong di Bukit Besi yang diusahakan oleh orang luar bukan bumi. Lebih parah lagi dikatakan tanpa sepatahpun dimaklum kepada beliau sebagai tuan rumah/ADUN... Di mana silap? Apakah ini disengajakan atau atau Terengganu sebut 'sengeleng wat gitu?'

YB Alias pula bercakap tentang luahan hati nurani TCS atau Terengganu Civil Servant... yang kenaikan pangkat dikatakan agak luar biasa... bagaimana seorang pegawai taraf N48 diberi tugas dan dibayar setaraf dengan JUSA C...Saya tanya rakan-rakan TCS berapa banyakkah beza antara kedua-dua pangkat tersebut dari segi emolumen....rata-rata mengatakan hampir RM10,000.00 sebulan....Ini isu kecil kepada mereka yang tidak terlibat tetapi amat signifikan dengan sesiapa yang menanggungnya. Begitu juga isu pemegang N54 di letak dalam 'sarang' N48... Nampaknya sistem kita telah caca marba... pinjam kata-kata Tun M... Inilah beberapa perkara yang dibangkitkan oleh rakan-rakan 'Back Bencher'... Dan ini manjadi keadaan Dewan selama 3 hari tersebut agak panas... tetapi saya yakin niat dan matlamat kami tidak lain dan tidak bukan untuk memperbetulkan keadaan agar tidak menjadi lebih parah sama ada kepada kerajaan atau parti....

'...Berkata benarlah walaupun pahit', maksud hadis...Fikir-fikirkanlah

Tuesday, December 15, 2009

Kura-Kura Pun Cuba Panjat Naik...

Salam bloggers...saya tahu ramai rakan-rakan kurang berpuashati kerana telah agak lama saya tidak update blog ini. Maaf banyak-banyak... Sekarang ada sedikit kelapangan. Maka dengan izin Allah saya dapat memberi pendapat dan berkongsi pandangan dalam beberapa perkara. Walaupun ada pendapat saya tidak tepat dan tidak dapat diterima oleh semua orang tetapi sekurang-kurangnya memberi ruang untuk kita berfikir sejenak. Berfikir tentang agama, bangsa dan tanah air tercinta. Ini dituntut dalam agama kita yang maha suci.

Maaf kepada Saudara Ahmad yang saya siarkan komen beliau terhadap saya. Mungkin beliau merasakan bahawa saya yang mengatur semua yang terjadi sehingga calon yang diminatinya dalam pilihanraya yang lalu tidak tersenarai. Kesannya saya mendapat kifarah dari Allah...Kalu benar begitu Alhamdululillah...dan saya berdoa agar kifarah ini tidak dibalas di akhirat kerana telah langsai di dunia... InsyaAllah...kerana kifarah Akhirat lebih hebat dan lebih dahsyat...tak mampu saya tanggung. Cuma saya mendoakan kepada Allah agar tuduhan yang diutarakan oleh Sdr Ahmad kepada saya adalah tuduhan yang pertama dan terakhir dan tiada lagi selepas ini insan yang akan dituduh sedemikian oleh beliau...InsyaAllah...

Kelmarin saya ditanya oleh seorang wartawan...tentang isu yang dibangkit oleh seorang Ahli Parlimen bukan Melayu daripada Perak. Saya lupa namanya...Isu tentang rasa tidak puashati tentang budget membina masjid yang jauh lebih besar berbanding dengan budget bina rumah ibadat bukan Islam. Saya agak sukar untuk menjawab soalan ini. Saya bimbang dituduh rasis atau menimbulkan ketegangan kaum. Begitulah kita orang Melayu...bila bercakap pasal bangsa kita...kita dituduh perkauman dan rasis. Kita terlalu pemaaf...'very forgiving' kata orang putih. Apa tidaknya...kita mencabut keris...dan kita memohon maaf pula...Wallahu Alam...

Antara lain jawaban saya terhadap isu ini ialah...semua ini terjadi kerana MELAYU LEMAH...terutamanya dalam politik. Kerana kelemahan kita maka ramai yang akan dan telah mengambil kesempatan...Mereka mempersoalkan tentang rumah ibadat kita. Mereka bertanya tentang keistimewaan kita dan tidak mustahil sedikit masa lagi mereka akan mempersoalkan tentang raja-raja kita. Semua ini terjadi kerana mereka buat-buat tak faham tentang SATU MALAYSIA. Semua isu yang saya sebut ini tidak pernah disebut dan dibahaskan sebelum ini iaitu semasa orang dan Parti Melayu kuat. Betul lah kata orang tua-tua...'Pabila pokok condong, bukan sahaja anak-anak mampu memanjatnya malah kura-kura juga cuba untuk merangkak naik...'

Persoalan lain ialah apakah kita lemah ini kerana kita kurang kuantiti? Jawabnya Tidak...dari segi kuantiti kita majoriti tetapi kita berpecah...ada dalam UMNO, ada dalam PAS dan ada dalam ADIL dan ada juga Melayu dalam DAP...Hanya satu penyelesaian di dalam kemelut ini...Jawabnya ialah BERSATU DAN BERPADU... demi agama, bangsa dan tanah air. Saya yakin apa yang disuarakan oleh Ahli Yang Berhormat itu sekadar nak 'test' tentang kekuatan dan kecerdikan orang Melayu di Malaysia....Fikir-fikirkanlah...

Thursday, November 12, 2009

Ubat Kuat UMNO

Salam bloggers...terima kasih banyak-banyak kepada rakan-rakan yang setia dengan blog ini. Maaf kepada Faizal Zakaria yang mengatakan bahawa orang Felda Mengkawang yang kerja 'cokeh buah' bukannya orang Lubuk Periuk dan Peneh...Saya katakan demikian kerana nak kaitkan panjang umur dan cergas dengan penggunaan air bukit. Maaf sekali lagi. Ada rakan bertanyakan bagaimana nak kuatkan UMNO dan Barisan Nasional. Kenapa soalan ini muncul? Mungkin kerana keadaan semua partti di negara kita hari ini agak 'bolloq' barangkali. Dengan fenomena terbaru dalam PAS dan ADIL, kelihatan UMNO lebih teguh dan mantap. Ini sekadear andaian saya. PAS dengan isu pertembungan puak Mursyidul Am dan Presiden...ADIL dengan isu perletakan jawatan ADUN dan problem di Sabah... MCA dengan EGM...begitu juga dengan MIC dan Parti Baru kaum India...Nampaknya tahun 2009 tidak menjanjikan yanng terbaik untuk parti politik Malaysia...Saya mendoakan agar kedatangan tahun baru nanti suasana akan bertambah baik dan cemerlang terutama kepada parti keramat UMNO... InsyaAllah.

Solan yang diutarkan masihbelum terjawab... Disini saya ingin 'convey' mesej Presiden parti dalam usaha memperkasakan parti. Saya tidak tahu sama ada orang Melayu UMNO dan rakyat Malaysia tersedar atau tidak apa yang digariskan oleh DS Najib dalam persidangan agung yang lalu. Presiden menggariskan beberapa pra syarat untuk memperkasakan UMNO...iaitu;

1. BERSIH....saya tafsirkan bahawa pemimpin dan orang UMNO jangan korup... Kerana amat malang bagi kita apabila rakyat mengkaitkan UMNO dan korup...Ini memalukan. Sehinggakan mereka yang bersihpun turut terpalit.
2. IKHLAS...saya tafsirkan jangan jadikan politik sebagai wahana untuk cari makan dan untuk kekayaan segera dan jauh sekali daripada politik wang untuk mendapat jawatan.
3. TERBUKA...sedia dan sudi memberi ruang dan peluang kepada mereka yang lebih baik dan berkaliber demi parti. Bukan mengangkat mereka yang sanggup menjadi pak turut dan menjadikan jawatan parti sebagai pusaka. Jika ini berlaku akibatnya parti kita akan mengecil dan ' kecut- berut' kata orang Terengganu
4. TAWADDUK...bukan sombong atau orang Terengganu kata 'Gong' dan orang putih kata arrogance...yang lebih malang jika ada di kalangan kita yang bodoh lagi sombong...'bodoh tak boleh diajar dan cerdik tak boleh diikut...'
Sejauhmana kita termasuk saya mampu mengimplementasikan pra syarat tersebut...jawabnya...Tepuk dada tanya selera.

Saya paparkan ini semua bukan untuk mengajar jauh sekali untuk berlagak pandai tetapi demi survival UMNO. Dan yang lebih penting ia juga sebagai peringatan untuk diri saya yang serba kekurangan ini. Sebab itu saya sentiasa terbuka dalam segala hal. Alhamdulillah saya senang dengan sikap ini.

...'Berilah peringatan..sesungguhnya memberi peringatan itu memberi mafaat kepada orang mukminin'...Maksud ayat....Fikir-fikirkanlah

Thursday, October 29, 2009

Niat Sahaja Yang Mesti Baik?

Salam bloggers...budget 2010 baru sahaja dibentangkan. Macam biasa ada yang suka dan tidak kurang yang rasa selesa. Walau bagaimanapun terimalah apa yang ada...Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada manusia. Bagi yang merokok...mereka mengucap terima kasih kerana harga rokok tidak dinaikkan...kerana ada yang meramalkan ia akan dinaikkan sebagimana biasa. Bagi kaki tangan kerajaan mereka mengharapkan bonus...kerana kebiasaannya bonus diumumkan setiap kali budget dibentangkan. Kita mendoakan agar budget ini akan memberi kebahagiaan kepada kebanyakan rakyat. Saya tahu kerajaan tidak mampu untuk memenuhi kehendak semua rakyat dalam satu masa. Saya yakin PM mempunyai niat yang baik untuk Satu Malaysia...Tahniah kepada PM yang juga Menteri Kewangan kita. Kita juga mendoakan agar budget ini akan mampu memulihkan UMNO dan BN...kerana nampaknya kita telah semakin pulih...

Ada rakan saya mengatakan bahawa UMNO dan kerajaan telah semakin baik dengan alasan kemenangan di Bagan Pinang...Tahniah TS Mat Isa...Alasan kedua ialah keadaan parti pembangkang yang nampaknya semakin hangat bergolak...Jadi dalam keadaan ini nampaknya UMNO lebih baik dan stabil...Saya secara spontan terpacul soalan betul ke begitu...Bolehkah Bagan Pinang dijadikan ukuran pemulihan? Betul ke MCA telah pulih? Sebagai parti yang hebat dan terulung...kita tidak boleh jadikan kelemahan parti lain sebagai ukuran kekuatan parti kita. Kita mesti mempunyai 'benchmarking' kita tersendiri. Ini sekadar pandangan...Wallahu 'Alam...

PKR nampaknya semakin celaru...orang Terengganu kata semakin 'bollok'...Jeffrey Kitingan keluar parti...Badrul Hisham Abdullah ADUN Pelabuhan Kelang keluar parti. Saya difahamkan ramai lagi yang akan berbuat demikian. Tunggu lah nanti... Dan yang pasti akan ada suara sumbang nanti menuduh bahawa mereka dibeli, dibayar atau ada janji-janji tertentu...Saya amat yakin... Pas juga nampaknya menuju ke arah yang sama... Ini pada saya mungkin tujuan dan asas perjuangan yang tidak jelas...Tujuannya ialah untuk menewaskan UMNO dan BN...

...'Setiap amalan mestilah dengan niat'...maksud hadis....Lantaran itu..niat baik mesti diselaraskan dengan percakapan dan tindakan... Fikir-fikirkanlah

Wednesday, October 14, 2009

Salam bloggers...terima kasih kepada peminat blog saya ini. Tahniah kepada TS Isa Samad yang membuktikan bahawa UMNO dan BN masih relevan. Alhamdulillah...Kemenangan ini amat bermakna kepada UMNO dan BN. Ia satu hadiah kepada UMNO yang sedang melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunannya sekarang. Diharap hadiah daripada N9 ini akan menjadi katalis untuk kecemerlangan UMNO dan BN selamanya. Sudah menjadi perkara biasa apabila kalah membangkang akan menuduh bermacam-macam tuduhan. Mereka akan tuduh SPR tidak telus, politik wang, ada ancaman dsbnya...Jangan dihirau sangat...sebab orang Terengganu sebut...'memang fesyen dia doh gitu'...Cuma harapan saya jangan mudah selesa dengan kemenangan ini.

Saya baru sahaja mengikuti ucapan perasmian Mesyuarat Agung Pemuda, Wanita dan Puteri oleh Timbalan Presiden...cukup power...Digariskan 4 rukun kecemerlangan parti.

Monday, October 5, 2009

Telah Tuakah UMNO

Salam bloggers...Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin...walaupun agak terlewat...Pilihanraya kecil lagi!...Apalah malang nasib negara kita ni. Kali ni dah lapan kali pilihanraya kecil...Inilah rungutan kebanyakan kita...Apakah malang atau bernasib baik dengan banyaknya pilihanraya kecil ini hanya kita sahaja yang mampu menilainya. Yang pasti yang bernasib baik ialah penduduk dan rakyat di sekitar kawasan yang terlibat. Projek segera mencurah-curah. Projek yang tidak diminta pun datang dengan tiba-tiba. Pembangkang kata inilah umpan pilihanraya. Inilah yang lazim terjadi di negara kita. Apakah pendekatan ini masih berkesan dan relevan sekarang? Jawapannya tidak pasti...kerana rekod pilihanraya yang lepas tidak menyebelahi kita. Kenapa?...kerana pengundi hari ini lebih pintar dan terpelajar dan pelajaran itu disumbangkan oleh UMNO dan Barisan Nasional sejak merdeka.

Saya terbaca satu artikel berkaitan Allahyarham Dato' Rahim Bakar, bekas MB Pahang. Antara lain isi artikel tersebut ialah kata-kata Tun Musa Hitam bahawa UMNO sekarang sedang menghadapi masalah penyakit tua... dan ubat yang paling berkesan untuk penyakit ini ialah kematian. Saya terpegun dengan pendapat itu. Kerana dengan usia UMNO 63 tahun sebenarnya tidak terlalu tua dalam suasana sekarang. Orang di kawasan DUN saya terutama di Hulu Berang umur 60 dan 70 tahun masih kuat dan sihat. Kalau tak percaya saya jemput ke kampung Lubuk Periuk, Peneh, Pereh, Menerong, Kua dan kawasan yang sekitarnya...kita akan dapat lihat mereka yang berusia 70 dan 80 tahun masih kuat mengerjakan ladang sawit...orang Terengganu sebut 'cokeh buah'...Kalau orang Hulu Berang dijadikan kayu pengukur...maka dengan umur 63 tahun umur UMNO,ia masih agak muda. Wallhu Alam...

Pendapat arwah Dato Rahim juga bahawa teras perjuangan UMNO telah terpesong...Kalau dulu untuk Agama, Bangsa dan Tanah Air...tetapi hari ini untuk diri dan peribadi. Dan matlamat perjuangan asal sekadar menjadi sandaran dan titian untuk mencapai cita-cita peribadi. Lantaran itu saya berpendapat bahawa pemimpin-pemimpin terdahulu mempunyai Aura yang kuat dan barokah yang tinggi, dan sentiasa ditunjukki jalan penyelesaian apabila berada dalam kesulitan oleh Azzawajalla...Mungkin andaian saya ini kurang tepat.

...'Apabila sampai ajal kamu, ia tidak akan dipercepatkankan walau sesaat atau digostankan walau sesaat'...Maksud Ayat....Fikir-fikirkanlah

Friday, September 11, 2009

Benar Pasti Muncul...

Salam bloggers...Nampaknya blog saya agak meriah dengan cerita LDP Jepun. Seingat saya inilah kali pertama komen pembaca mencecah 20 pandangan. Alhamdulillah... semua saya siarkan. Saya siar yang enak dan saya juga paparkan yang kurang dan tidak enak. Yang penting saya merasakan bahawa pembaca dan para bloggers tahu memilih yang mana intan, yang mana kaca, boleh membezakan antara beruk dan kera....dan yang mana satu bakul dan yang mana raga....InsyaAllah.

Isu yang sama juga dicoretkan oleh pemimpin besar kita Tun Dr Mahathir dalam blognya. Nampaknya pandangan Tun dan pendapat saya tidak banyak bezanya. Cuma siapa saya? Saya hanya pemimpin kecil nun di Hulu Terengganu... berbanding Tun pemimpin agung yang disegani dunia.... Pun begitu kebimbangan kami sama...bimbang kalau-kalau UMNO tidak relevan pada masa akan datang. Persoalannya apakah ini sesuatu yang mustahil?...Orang putih kata...'In politic..nothing impossible'. Kata orang Terengganu...'dalam politik takdok pende hok mustahil...'Walahu Alam...

Saya tahu akhir-akhir ini pergerakan saya dan rakan-rakan YB diberi fokus...Ekoran saya dan rakan-rakan tidak muncul ketika kehadiran TPM dan Menteri KDN ke Hulu Terengganu tempoh hari. Saya dengar macam-macam spekulasi yang dibuat. Untuk makluman tiada perancngan pun untuk tidak hadir... Semua spekulasi tersebut adalah palsu dan seolah-olah mahu merosakkan nama saya dan rakan- rakan. Pun begitu saya terima dan saya redha...Dan ada juga para bloggers yang cuba menggali yang buruk tentang saya...Pun saya terima seadanya...Kerana yang penting pada saya Allah itu satu dan yang benar pasti akan muncul dan yang batil pasti akan tenggelam...cuma masa sahaja yang akan menentukan.

Begitu juga halnya dengan konflik MCA...Walau apapun alasan yang diberi oleh pihak yang terlibat, percaya dan yakinlah bahawa pada satu masa dan ketika kelak kebenaran akan terpacul jua. Banyakkan sabar...Sesungguhnya Allah bersama mereka yang sabar...Yang penting dalam hidup ini kita mesti ada pendirian. Jangan jadi lalang yang pasti akan goyah apabila ditiup angin. Saya sering mendoakan agar diri saya ditetapkan pendirian dan mohon Allah tunjukkan jalan yang diredhaiNya ...InsyaAllah...

'...In the matter of style, swim with the current...and in the matter of principle stand like a rock'...Fikir-fikirkanlah.

Wednesday, September 2, 2009

Merdeka ke 52...dan Tumbangnya LDP Jepun

Salam Merdeka ke 52...Telah 52 tahun kita merdeka...Nak kata tua belum cukup matang...nak kata muda tetapi melebihi 50 tahun doh...Tapi orang putih kata..'Life begin at 40'...Kalu gitu...ertinya negara kita masih muda...Dan perjalanan masih jauh. Apa yang terjadi di Pengkalan Pasir menyebabkan keadaan yang agak lega di Manik Urai...kembali haru... Selepas Manik Urai, penganalisis politik kata UMNO dan BN semakin pulih semangatnya kerana PAS menang tak sampai 100 majoriti. Tetapi datang angin Pengkalan Pasir. Nampaknya angin Manik Urai hanyalah Fatamorgana sahaja...Nampaknya banyak perkara perlu dibuat untuk mengubati penyakit UMNO dan BN. Harapan saya jangan tersalah ubat...kerana kalu tersalah jadilah macam nasib MJ (Micheal Jackson)...Nauzubillah.

Berita haru dari Jepun jugak membimbangkan saya. Parti LDP telah tewas dengan teruknya selepas berkuasa 54 tahun di Jepun. Jasa dan budi serta bakti LDP kepada rakyat Jepun tidak terhitung...Maklumlah 54 tahun. segala kemudahan dan fasiliti yang terdapat di Jepun hari ini adalah hasil buah fikiran dan sumbangan LDP...Tetapi malangnya selepas 54 tahun, rakyat tidak lagi menghargai jasa dan bakti mereka. Mereka mengundi parti Demokrat. Kenapa jadi begitu...wallahu a'lam...

Saya bermuhasabah sendiri...mungkin apa yang terjadi di Jepun sebagai isyarat kepada UMNO dan BN di Malaysia untuk 2 tahun akan datang sebelum menjelang PRU13. Agar pengalaman Jepun dijadikan iktibar kepada kita, pemimpin, pejuang dan pendokong parti yang berkuasa hari ini iaitu UMNO dan BN. Jika pengalaman Pengakalan Pasir diambil pengajaran...isu calonnya...kawan saya bertanya kemana SB-SB politik yang tak mampu menyaring kedudukan calon Rohaizat sehingga sukar untuk dijawab... Apakah SB sekarang tidak sehebat SB dulu? Atau sekadar melepas batuk ditangga...

Mengikut ulasan berita yang saya terbaca...(dok sengeleng baca) bahawa semua peti undi di Pengakalan Pasir...BN kalah...hatta tempat majoriti bukan Melayu yang menjadi tumpuan penuh kempen MCA pun kita dikatakan kalah teruk. Ini satu petanda yang cukup bahaya untuk masa depan UMNO dan BN. Tambahan pulak isu dalaman MCA sekarang...Saya bimbang ia akan menjadikan MCA tidak relevan kepada orang cina dan menjadi 'tanggungan/ liablity' kepada BN....maka parahlah BN.

Saya bersembang dengan orang muda dan belia... kenapa mereka kurang berterima kasih kepada kerajaan yang banyak berbudi kepada mereka...jawapan mereka sama dan konsisten...'bina jalan, bina sekolah, buat jambatan dan baiki infra...itu memang tugas dan kewajipan kerajaan'. Di Korea kata mereka kerajaan mereka juga buat apa yang di buat oleh BN di Malaysia. Malah lebih hebat lagi...begitu juga Kerajaan Jepun yang baru kalah itu... Sama juga dengan kerajaan China...Apa yang kita cari sekarang ialah pemimpin yang ada integriti, amanah dan boleh 'get along'...kata orang putih dengan rakyat...Oooo gitu kata saya....

....Ramai orang yang bijak dan cerdik tetapi kurang orang yang amanah dan jujur...betul ke...Fikir-fikirkanlah

Thursday, August 20, 2009

Lain Padang...Berbeza Belalang

Salam bloggers...Kita sedang menanti keputusan Pilihanraya DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang. Kempen sedang hangat dijalankan. Masing-masing menjaja visi dan misi untuk rakyat. Saya tidak dapat komen banyak kerana saya tidak lagi berkesempatan ke kawasan tersebut. Tetapi saya dapat ramalkan bahawa keadaannya sama sahaja di mana-mana tempat pilihanraya kecil dijalankan. Ini ujian kedua Timbalan Presiden UMNO selepas Manik Urai. Kalau dikatakan Manik Urai hampir menang, harap-harap di Permatang Pasir ini kita akan menang walaupun dengan majoriti satu undi. Ini harapan kita dan ahli UMNO seluruh negara. Tetapi perlu diingat, harapan akan tinggal harapan jika tidak disertai dengan usaha dan azam yang bersungguh-sungguh.

Bercakap tentang harapan, kita di Terengganu Darul Iman juga mempunyai harapan yang menggunung agar UMNO terus perkasa. Terutama di bawah kepimpinan mantan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Harapan kita agar diadakan program-program memperkasakan UMNO dan BN. Saya katakan demikian kerana masa telah terlalu suntuk untuk pilihanraya akan datang. Sehingga kini saya tidak melihat satu usaha ke arah itu...Mungkin saya tidak terlihat atau tersalah pandang barangkali. Kalu begitu maaflah. Kedatangan Pengerusi ke Terengganu beberapa hari yang lalu dengan kehadiran begitu ramai orang pada saya buka indikator kekuatan UMNO dan BN Terengganu. Strategi sekarang ialah menjaga setiap individu...atau 'head count'...ini lebih penting. Peranan ketua lima perlu diaktifkan semula. Malangnya kita hanya sibuk berpolitik sesama kita.

Saya tidak tahu sejauhmana kefahaman Pengerusi Perhubungan tentang senario politik Terengganu. Kalu nak disamakan dengan politik Johor, saya rasa satu kesilapan. Saya bercakap dengan orang kuat UMNO Johor bahawa orang Melayu Johor amat taksub kepada UMNO. Dan ini berbeza dengan Terengganu...

...Lain hulu lain parang...lain padang lain belalang...Fikir-fikirkanlah....

Monday, August 3, 2009

Semangat Air Lamned

Salam bloggers... nampaknya ramai yang menyokong agar UMNO dan BN di 'Rebranding'... Kata mereka UMNO telah lari dari perjuangan asal. Perjuangan Alif, Ba, Ta...Agama, Bangsa dan Tanah Air. Ada yang kata UMNO berjuang untuk perut dan kedudukan. Betul ke? Yang penting untuk kita pejuang UMNO dan orang politik faham bahawa rakyat hari ini rata-rata celik huruf. Mereka mampu membaca dan meneka. Dan mereka juga mampu meramal macam Nostradamus... Ini kerana sumber maklumat dewasa ini amat banyak dan mudah.

Mereka dengar radio, mereka tonton TV, mereka baca surat khabar...lalu mereka bandingkan apa yang mereka dengar dan lihat itu dengan apa yang terpapar dalam laman web. Dan sememangnya manusia penasaran kepada sesuatu yang negatif dan 'anti establishment'. Memang sifat semula jadi manusia...Nok wat guane...fesyen dia...suka sokong yang dok sohhor(masyhur)...

Dalam usaha memulihkan nama UMNO dan BN perlu ada 'task force' yang bersungguh-sungguh. Bukan cakap berdegar-degar dalam perhimpunan dan perasmian perhimpunan parti sahaja selepas itu lenyap entah kemana...Orang Terengganu kata semangat air lamned...mula-mula penutup botol dibuka gas dan air membuak keluar...lepas beberapa minit...lenyap entah kemana. Harap-harap semangat perjuangan tidak begitu. Kalau begitu...maka malanglah nasib UMNO dan Barisan Nasional.

Rebranding ini mesti bermula dari atas ke bawah... 'top to bottom'...pemimpin perlu berubah dahulu dan ini akan memudahkan pengikut untuk mengekori. Jangan mengharapkan pengikut untuk berubah tanpa pemimpin berubah. Persoalannya...pemimpin peringkat mana? Jawapannya di semua peringkat. Di peringkat pusat Presiden kena berubah dan berani berubah. Di peringkat bahagian, Ketua Bahagian dan kepimpinan bahagian kena berani buat perubahan. Di peringkat DUN, Adun sebagai Wakil Rakyat wajib berani berubah... Kalau semuanya tidak berani berubah dan mengubah...suka dan gemar kepada mediocre...orang Terengganu sebut...Hok Tu Le... sindrom'Ketu laan'...maka berkuburlah UMNO dan BN...Nauzubillah...
Dan semangat ini mestilah berterusan dan berkesinambungan....Jangan jadi semangat Air Lamned...

Ada kawan saya bertanya...berapa banyak baju UMNO dan BN diberi kepada rakyat setiap kali diadakan program...dan diberi percuma...Jawabnya terlalu banyak...Soalnya lagi kenapa rakyat tidak memakai baju tersebut?...Jawablah sendiri. Cuba bandingkan baju bergambar Nik Aziz...penyokong PAS sanggup membeli dan bangga memakainya...Kenapa ini terjadi...jawapannya...kerana branding...

Akhirul kalam...Bangga menjadi kucing yang sentiasa dibelai tuannya di rumah, berbanding kerbau di sawah yang sentiasa dipalu untuk membajak...Fikir-fikirkanlah..

Tuesday, July 21, 2009

Bila 'Brand' tidak laku...

Salam bloggers... keputusan Manik Urai telah kita ketahui. Ramai yang menyatakan mereka telah mengagak keputusan tersebut. Ada yang mengatakan keputusan sepatutnya BN menang. Ada juga yang kata 65 undi tu seolah-olah BN menang berbanding lebih 1500 Paksu Wil menang. Apapun, kita kena menerima realiti bahawa kalah tetap kalah walaupun satu undi. Ada sindiran yang mengatakan lawan 'Tok Peraih Ikan' pun BN tak mampu menang. Betapa parahnya BN ketika ini. Betul ke?

Walau apapun tanggapan, andaian dan persepsi, tahniah diucapkan kepada wakil rakyat yang baru. Yang belum menang diharap cuba lagi jika di beri peluang pada masa akan datang. Isu yang dibawa oleh parti-parti yang bertanding nampaknya isu yang sama...orang Terengganu kata...'hok tu le je'...pun begitu BN masih tidak mampu untuk menang. Ertinya BN perlu menukar taktik dan teknik untuk berhadapan dengan PAS dan Pakatan Rakyat. Taburan janji dan projek segera nampaknya tidak mampu untuk menarik pengundi. Ini terbukti dalam 6 pilihanraya kecil yang telah kita lalui. Kita kalah 5-0...

Saya berpandangan, bahawa imej BN perlu dipulihkan. Orang putih sebut 'Rebranding'...Kalau brand kita telah dipandang enteng, maka apa sahaja yang kita lakukan tidak akan berkesan malah dipandang negatif. Pihak pembangkang dengan senang sahaja memanipulasikan apa sahaja yang kita buat. Rebranding ini perlu dilaksanakan segera dan secara komprehensif bukan sejadar 'adhoc' sahaja. Bermakna bermula dari kepimpinan atasan hingga ke akar umbi. Itupun kalau ada niat untuk mengukuhkan parti.

Oleh kerana brand kita tidak popular lagi, segala apa yang terjadi, kita disalahkan. Kematian Beng Hock baru-baru ini juga kerajaan disalahkan. Kematian seorang India di dalam lokap...kerajaan juga dicemuh, kenaikan tambang pengangkutan awam, bertambahnya penagih dadah, kerajaan dikeji...pada hal di negeri pembangkang pun apa kurangnya...Apa-apa sahaja yang negatif, kerajaan juga jadi mangsa...Pengumuman PM seperti penurunan Tol, pakej rangsangan ekonomi dll seolah-olah tidak memberi kesan apa-apa kepada rakyat. Malah ia dipandang sepi begitu saja...kata orang Terengganu..'dok jadi kudis gatal pun'...Malangnya nasib kerajaan BN kita.

...Betullah kata seorang tua; "kalu pokok sudah condong, bukan sahaja kambing mampu panjat, malah kura-kura juga akan cuba merangkak naik"...Fikir-fikirkanlah...

Tuesday, July 7, 2009

Manik Urai...Apakah akan Terlerai

Salam bloggers... nampaknya politik negara sekali lagi di gegarkan dengan pilihanraya kecil. Kali ini di Manik Urai Kelantan. Saya tidak tahu kenapa sejak zaman Pak Lah dan era Dato' Najib ni terlalu banyak pilihanraya kecil. Aapakah makna dan hikmah disebalik terlalu banyaknya 'by election' ini? Diharap agar ia memberi kebaikan kepada Agama, Bangsa dan Negara. InsyaAllah...Kerana dengan banyaknya pilihanraya maka banyaklah pitis habis, masa terbuang dan banyak tenaga digunakan.

Saya bertanya teman-teman di Manik Urai...Bagaimana prospek di sana? Rakan-rakan parti pembangkang amat yakin dengan calon mereka. Mereka kata kedudukan sekarang agak memihak kepada mereka. Saya bertanya pula dengan rakan-rakan UMNO, mereka juga confident...cuma kata mereka keadaan banyak bergantung kepada pengundi muda dan atas pagar. Kalau bergantung kepada pengundi muda, saya bimbang trend sekarang tidak memihak kepada kerajaan...Wallahu Alam...Cuma saya ingin menasihatkan agar bertandinglah dengan penuh semangat setiakawan. Dan saya yakin orang Kelantan terutamanya Manik Urai mereka matang dalam politik.

Kembali kepada kemelut UMNO Terengganu, nampaknya selepas perlantikan 'line-up' baru UMNO Terengganu, terdapat berbagai pandangan. Apapun tahniah saya ucapkan kepada Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang dilantik untuk jawatan Setiausaha, begitu juga dengan sahabat saya YB Shabery Chik dan YB Datuk Rahin Said. Moga dengan perlantikan itu akan menguatkan UMNO Terengganu.

Terdapat juga komen kawan-kawan yang mengatakan DSHH agak berat sebelah dalam perlantikan ini. Ini disebabkan beliau buat tidak 'pamme'...buat endah tak endah kepada suara ahli Yang Berhormat semasa pertemuan di pejabat beliau sebulan yang lalu. Ramai YB rasa kurang senang...apakah DSHH tidak memahami apa yang diperkatakan atau beliau mendapat tekanan daripada pihak tertentu. Wallahualam... Apapun sekarang semuanya di tangan DSHH yang akan menentukan jatuh bangunnya UMNO dan BN Terengganu.

...langit tidak selalu cerah...Fikir-fikirkanlah..

Sunday, June 21, 2009

Jo Ong/Mendung Politik...

Salam bloggers... nampaknya banyak isu sedang melanda negara sekarang... Isu H1N1 nampaknya masih belum reda. Behgiru juga halnya dengan suasana dan cuaca politik... nampaknya semuanya mendung...orang Terengganu sebut...'Jo ong'...gelap nok hujan...walaupun cuaca sebenarnya panas terik... 'Panas bedering'.

Bagi UMNO Terengganu dan rakyat keseluruhannya sedang menunggu dengan penuh sabar dan debar pengumuman barisan baru UMNO Perhubungan Negeri apabila ada dikatakan seorang dua terkait dengan SPRM. Sejauhmana benar kes tersebut wallah Alam...Jika benar kes tersebut...saya merasa amat sedih kerana mereka adalah kawan dan teman baik saya. Mungkin ada yang mengatakan saya tidak ikhlas...terpulang...saya ada telefon rakan saya ini untuk menyabarkan mereka tetapi tidak berjawab. Sabar separuh daripada iman. Saya tidak pernah merasa gembira atas penderitaan orang.... Nauzubillah...Allah hanya menguji bagi mereka yang tahan diuji..kerana Allah Maha Mengetahui....Ayat dan kalimat yang sama saya utarakan kepada Dr Ramzi...

PAS juga berada dalam keadaan ' Jo Ong' jugak setelah selesai pemilihan peringkat pusat beberapa minggu yang lalu. Itulah bahananya pertandingan. Pada saya pertandingan banyak membawa mudarat daripada berkat. Jelas sekarang sekurang-kurangnya dua kabilah di dalam PAS...satu Kabilah TGNA di Kelantan dan satu lagi Kabilah TGHHA di Terengganu. Masing-masing merasakan mereka berada di pihak yang benar. Isu sampingan yang di polemikkan ialah kerajaan campuran...yang dicadangkan oleh UMNO dan BN. Isu sebenarnya ialah kalah dan tewas dalam pemilihan... Ada Ahli Parlimen PAS menganggap bahawa sejarah perang Siffin berulang lagi...Kononnya PAS adalah Puak Saidina Ali dan UMNO adalah puak Muawiyah. Betul atau tidak analogi tersebut...fikirlah sendiri. Apa yang penting dan utama kita terutamanya orang Melayu beragama Islam tidak ada masa lagi untuk bertelingkah atas nama perjuangan politik. Mari kita cari titik persamaan dan ketepikan yang titik perbezaan.

...Kata pepatah; 'bulat air kerana bekas, bulat 'belede' kerana acuan, bulat orang kerana berpakat'...Fikir-fikirkanlah...

Thursday, June 11, 2009

Stadium Oh Stadium

Salam bloggers...terima kasih untuk kesekian kalinya kerana masih setia bersama saya. Saya banyak menerima panggilan tentang keruntuhan atap stadium. Saya juga melihat blog-blog yang ada...ada banyak komen dan pendapat tentang hal tersebut. Cuma saya merasa agak terkilan kerana nama saya dikaitkan dengan keruntuhan itu. Saya tidak tahu mengapa. Walau bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan sama ada yang positif dan negatif terhadap saya. Dengan itu saya dapat menilai siapa diri saya. Saya tahu saya Rosol yang tidak maksum... Banyak salah dan silap.

Cuma saya tidak tahu kenapa saya dikaitkan. Adakah kerana saya baik dan rapat dengan kontraktor ini? Wallahualam...Tapi ingin saya jelaskan di sini saya baik dengan semua orang termasuk rakan-rakan pembangkang. Pada saya semua adalah rakan-rakan saya... Tetapi bagi saya yang benar akan muncul juga nanti. Cuma masa dan ketika sahaja InsyaAllah.

Cuma saya merasa kesian kepada kontraktor Terengganu dengan peristiwa yang terjadi ini. Sedikit sebanyak saya fikir akan terkena tempiasnya. Ada saya dengar bahawa kerana tragedi ini kontraktor Terengganu akan dipersoalkan reputasi mereka...cap ayamlah katakan.... Semua orang tahu bahawa atap yang runtuh itu dibina oleh kontraktor luar bukannya orang kita. Saya mengalu-alukan siasatan yang akan dibuat nanti...InsyaAllah kita kan tahu puncanya nanti. Pada saya kejadian ini banyak pengajarannya. Saya mendoakan agar ia adalah tragedi buruk terakhir di bumi Darul Iman ini. Amin...

Kata pepatah; Seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit....Fikir-fikirkanlah...

Tuesday, June 2, 2009

Subjek Sejarah dan 10 subjek...

Salam bloggers...maaf kerana agak lama tidak update blog ini. Walau bagaimanapun terima kasih kerana masih setia. Dalam dua tiga minggu ini banyak perkara terjadi. Isu yang agak besar ialah pengumuman Menteri Pelajaran mengumumkan tentang 10 subjek untuk SPM. Ada yang kata bagus dan tak kurang yang membantah. Masing-masing dengan alasan dan rasional masing-masing. Pada saya, saya mengharapkan agar pihak kementerian berfikir dengan panjang lebar sebelum mengaplikasikan peraturan.

Saya suka mencadangkan agar pelajaran teras jangan diabaikan mata pelajaran Sejarah. Saya bertanya orang Indonesia yang datang ke Malaysia kenapa semangat patriotik mereka terlalu tebal. Jawapan yang diberi ialah mereka diajar sejarah perjuangan bangsa sejak di Tadika lagi sehingga ke peringkat Universiti. Ini katanya salah satu sebab semangat patriotik mereka yang tinggi dan hebat. Sebab itu saya suka mengesyorkan subjek sejarah jangan diabaikan.

Tentang 10 subjek, saya juga suka mengesyorkan kepada kementerian agar dihadkan agar menjadi 12 subjek. Ini akan membuka ruang kepada adik-adik dan anak-anak kita daripada aliran agama. Jika dirigidkan kepada 10 subjek, maka pelajar aliran agama kena korbankan beberapa subjek agama yang mereka ambik. Ini sekadar satu cadangan untuk dipertimbangkan.

...Ilmu adalah lebih baik harta kerana ilmu tidak membebankan pemiliknya...Fikir-fikirkanlah

Monday, May 18, 2009

Selamat Hari Guru...Terima Kasih Cikgu

Salam bloggers...terima kasih kerana masih setia dengan blog ini...terima kasih kepada rakan rakan yang tak jemu-jemu menghantar komen dan pandangan. Alhamdulillah semua saya 'publishkan'...sama ada yang negatif atau sebaliknya...semuanya baik untuk saya. Ada komen yang mengatakan saya berhasrat menjadi MB...sebenarnbya tak pernah terdetik dalam hati ini untuk jawatan setinggi itu kerana saya tahu siapa saya. Lagipun amanah sebagai pemimpin negeri cukup besar dan berat tak mampu saya memikulnya. Saya pernah katakan dulu bahawa jawatan yang saya sandang ini sebagai ADUN cukup tinggi. Juga tidak pernah termimpi oleh saya sebagai bekas guru. 'Once you are a teacher , always a teacher...' tetapi semua ini ditakdirkan Allah saya terima dengan dada terbuka.

Saya bukan seorang yang gilakan jawatan. Sebab itu apabila bertukar sahaja kepimpinan UMNO Negeri selepas DS Idris Jusoh, maka saya dengan rela hati meletak jawatan sebagai Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu. Tidak pernah bertangguh dan tak pernah didesak untuk meletak jawatan. Saya kenal dan tahu siapa saya. Jikalau parti mahukan khidmat bakti saya saya akan berikan juga dengan hati terbuka...Lagipun Nabi saw berpesan agar jawatan jangan direbut atau dilobi. Sebab itu kalau dikatakan saya gilakan jawatan ...itu satu andaian yang silap dan tidak tepat...

Nampaknya melobi jawatan pun telah terjadi dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS)...Banyak cerita yang didengar sekarang tentang calon-calon yang bertanding jawatan penting Jun nanti telah berarak ke sana ke mari dengan menghulur duit kopi atau bayaran minyak kereta. Keadaan semakin hangat kerana hari pemilihan semakin dekat. Masing masing merasakan diri mereka terbaik untuk pimpin parti. Walau bagaimanapun...syabas DS Hj Hadi yang telah menang jawatan Presiden tanpa bertanding..walaupun ada suara yang mengatakan cara menang dengan main 'mengilat' atau 'kecek' kata orang Terengganu...atau 'mislead' kata orang putih. Wallahu 'Alam...Dan hasrat PAS Erdogan nampaknya tidak kesampaian...

Sempena Hari guru ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di seluruh negara...Jasa bakti dan budi kalian amat bernilai...di tangan gurulah nasib generasi masa depan bangsa. Sesuai dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa...Saya jugak mengerti bahawa ilmu yang saya miliki hari ini adalah atas titik jerih para guru...Terima kasih Cikgu Embong...Ayahnda Zubir Embong, Cikgu Wahab, Ustaz Mat Yassin (allahyarham...moga rohnya dicucuri rahmat),Cikgu Mat Embong, Cikgu Razak Yaacob... semuanya mengajar saya di SK Bukit Diman, Ustaz Mubin (Allahyarham...moga bersama para solohin), Ustaz Adam, Ustaz Ghazali, Cikgu Hasnah, Cikgu Mat Sidek, Cikgu Ramli,Teacher Latifah...memberi ilmu ketika di Mahmudiah dan Cikgu Khairuddin, Ustazah Fauziah Sani, Cikgu Salmah, Cikgu Kasno, Cikgu Surimin, Ustaz Zainal Abidin semasa di KIK...dan banyak lagi...maaf kerana tak mampu saya untuk menyebut satu persatu...cuma sepatah kata dari murid mu yang nakal ini...maafkan saya cikgu dan terima kasih cikgu , ustaz dan ustazah yang menjadikan saya seorang manusia...Jasa dan budi semua tidak mampu saya membalasnya...hanya doa mampu saya nukilkan agar semua guru-guru diberkati dan sejahtera sentiasa...Amin...

...berburu ke padang datar,
dapat rusa belang kaki,
berguru kepalang ajar,
bagai bunga kembang tak jadi....Fikir-fikirkanlah...

Tuesday, May 12, 2009

Dirgahayu UMNO...

Salam bloggers...Kelmarin 11 Mei adalah tarikh keramat untuk Melayu kerana detik tersebut adalah detik penubuhan UMNO. Sedar tak sedar umur UMNO mencapai 63 tahun..Dan tarikh tersebut juga bersejarah untuk UMNO dan BN Perak kerana mahkamah memutuskan bahawa YB DS Nizar masih sah selaku MB Perak. Ertinya...Perak ada 2 MB dan 2 pasukan Exco...kelam kabut dibuatnya. Walau bagaimanapun kita kena terima keputusan itu dengan hati yang terbuka. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian tersebut... Hanya Allah sahaja yang mengetahui. Yang pasti, PR amat gembira dengan keputusan tersebut...kerana beberapa hari sebelum keputusan mahkamah dibuat, ada suara-suara sumbang kedengaran bahawa keputusan mahkamah akan berpihak kepada BN dan kerajaan...tetapi yang muncul sebaliknya...Apa komen pembangkang...pasti mereka memuji keputusan tersebut.



Saya yakin apabila keputusan tidak memihakkan mereka, mereka akan adakan roadshow dan mengutuk keputusan tersebut...mana aci begitu? Saya yakin mahkamah tidak memihak kepada sesiapa...Keputusan mahkamah berdasarkan 'fact and figure'...dan saksi...Jadi serahkan kepada kebijaksaan yang Arif untuk membuat keputusan. Namun saya memuji Dato Dr Zambry yang menerima keadaan yang berlaku dengan hati terbuka. Yakinlah pasti ada sinar dihujung terowong InsyaAllah...



Begitu juga halnya dengan sms ugutan yang saya dan rakan-rakan saya terima. Dato Dr Ramzi dicari oleh pihak polis. Saya menyeru kepada beliau agar tampil memberi keterangan kepada pihak berkuasa...Saya yakin beliau tidak bersalah...Biar polis yang membuat penyiasatan dan percayalah yang benar akan muncul nanti kerana Allah Maha Adil dan Maha Pengasih. Dikatakan kami berpakat atau mempunyai konspirasi dalam hal ini, saya berani menyatakan dengan tegas bahawa saya tidak tahu menahu...saya pada mulanya ingin 'ignore' sahaja sms tersebut tetapi difikirkan bahawa ia agak serius, maka saya mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Berang.



Persoalannya kenapa perlunya konspirasi tersebut? Kami tidak mempunyai masalah dengan sesiapapun secara peribadi. Cuma kami dituduh untuk menjatuhkan kepimpinan negeri. Ini satu tuduhan yang tidak berasas. Tuduhan daripada mereka yang takut kepada bayang-bayang...atau paranoid...

Wednesday, May 6, 2009

Ikrar dan Akibat...

Salam bloggers...kemelut politik Terengganu masih belum berakhir...Dua malam lepas saya difahamkan satu majlis penerangan dibuat di Bahagian Dungun. Dihadiri oleh YAB MB, Ketua Bahagian Dungun, Ahli Parlimen Dungun dan Exco daripada Dungun. Saya difahamkan bahawa majlis tersebut dibuat untuk persiapan mesyuarat Agung cawangan yang akan diadakan tidak berapa lama lagi.

Yang menyedihkan ialah apabila gelanggang tersebut digunakan untuk menghentam sesama sendiri. Memburukkan sesama UMNO walaupun belum jelas buktinya. Kita juga pernah merancang untuk mengadakan penerangan isu semasa tentang sms ugutan...tetapi kami dinasihati oleh pucuk pimpinan supaya jangan mengeruhkan suasana. Kita patuh kerana kita sayangkan parti. Saya tahu banyak fitnah dilemparkan kepada saya dan rakan-rakan...saya terima dengan kata-kata Alhamdulillah...Kemudian diugut dengan fail BPR...saya mengalu-alukan ...jangan sekadar gertak keling...

Kemuncak ialah sms ugutan...saya hairan kenapa orang yang bertanggungjawab masih bebas dan orang lain dikaitkan...Apakah ini satu konspirasi. Ada mencemarkan imej kami dengan mengatakan bahawa kami dayus dan berpakat atau merancang sms tersebut. Kenapa tinggal dan berlegar dihotel tidak takut tetapi hadir ke sidang dewan tidak berani? Jawabannya kerana suspek utama kes ini masih berlegar di dewan.

Kita tersasul daripada fokus sebenar... Isu sebenar ialah undi tidak percaya yang amat digeruni oleh pimpinan negeri. Takut kepada bayang-bayang. Kenapa takut sangat....sehingga saya difahamkan dihantar wakil menemui pembangkang untuk minta nyawa
kalau-kalau ada undi tidak percaya. Sampai begitu sekali tahap ketakutan yang sebenarnya tidak pernah wujud. Tidak hairan dan pelik kalau dua minggu lepas saya dimaklum oleh orang Manir yang YAB ke rumah ADUN Manir...Untuk apa dan betul atau tidak kena gi tanya orang Manir...Mungkin untuk bentuk kerajaan campuran...

Sebab itu saya tidak terkilan walaupun di arah sayap-sayap berikrar taat setia kepada pimpinan negeri walaupun terpaksa... Satu tindakan bijak untuk syok sendiri kerana nasib beliau di tangan wakil rakyat di dewan walaupun berkarung taat setia diikrarkan...Cuma tunggu dan lihat..

...Lembut bukan minta disudu...tunduk bukan minta dipijak...Fikir-fikirkanlah.

Sunday, April 26, 2009

DS Hisham-Tahniah

Salam bloggers...Tahniah DS Hisham yang diberi tanggungjawab besar menjadi Pengerusi Perhubungan Terengganu. Semoga DS diberi kekuatan untuk memimpin dan memperkasakan UMNO Terengganu. Perlantikan ini menimbul beberapa tanda tanya kepada rakyat Terengganu. Antara persoalannya ialah kenapa tidak dikekalkan MB sebagai Pengerusi UMNO kerana kata mereka hanya Terengganu sahaja yang MBnya tidak dilantik...di antara negeri-negeri yang dikuasai UMNO. Yang lain tidak dilantik tidak menjadi sesuatu yang pelik kerana mereka menjadi pembangkang. Soalan kedua MB Terengganu juga tidak menduduki JK tambahan dalam MT. Soal mereka lagi apakah ini tanda-tanda awal....Wallahu 'alam...

Saya merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan yang memahami kehendak rakyat Terengganu secara umumnya. Dengan perlantikan DS Hisham ini saya yakin dengan pengalaman beliau semasa membantu UMNO ketika kalah, rangkaian rakan-rakan pemuda Terengganu sezaman dengan beliau yang masih aktif dan sikap terbuka beliau akan memudahkan usaha memperkasakan Terengganu. InsyaAllah. Pembangkang sememangnya merasa terpukul dengan perlantikan ini kerana selama ini mereka merasakan terlalu mudah untuk menawan semula Terengganu...nampaknya angan-angan mereka akan terbatut. Orang Terengganu kata...'Talla'...iaitu tersekat. Nampaknya Allah masih menyayangi parti keramat ini... Alhamdulillah.

Saya juga yakin perlantikan DS Hisham ini akan meperkasakan semua YB yang selama ini dipinggirkan oleh pihak-pihak tertentu. Sesetengah rakan saya di kalangan YB yang merasakan tidak seronok bekerja beberapa bulan lalu, sekarang telah kembali ceria selepas pengumuman lantikan DS Hisham. Rata-rata mengalu-alukan lantikan tersebut. Rakan-rakan U Best yang tidak disambung kontrak juga dikatakan paling ceria. Syukur..Syukur kepada Allah berterima kasih kepada manusia...

...Kata pendeta; ' Hidup umpama roda..sekali di atas sekali di bawah...Ketika diatas jangan 'nyek' yang di bawah...Fikir-fikirkanlah

Monday, April 20, 2009

Klon dan Takdir

Salam bloggers...sekali lagi terima kasih kerana masih setia dengan blog saya. Sekarang isu saya dan rakan-rakan tidak hadir ke sidang DUN masih hangat dan panas diperkatakan. Saya tidak menyalahkan rakan-rakan back bencher...mereka setia dengan saya dan rakan-rakan yang diugut melalui sms. Saya masih menunggu keputusan siasatan polis punca sebenarnya sms tersebut. Saya difahamkan bahawa polis masih menyiasat...cuma ada kabar angin mengatakan bahawa sms tersebut dari sim card yang diklon. Kalau betul amat malang pihak kami bertiga kerana sms daripada sms kad klon. Dan inilah kali pertama saya dengar sim kad telefon diklon. Saya biasa dengar kredit kad dan IC diklon. Wallahu Alam...

Sekarang sibuk di pejabat mb...orang yang disyakki...dikatakan menghilang. Ada yang mengatakan telah ditukar...ada yang kata di beri cuti. Cuti sakit atau cuti rehat...Mana satu yang betul...tunggu dan lihat...Dan berbagai-bagai versi...Ada yang royat beliau ke Bukit Takal Kemaman...Walau bagaimanapun saya dan rakan-rakan mendoakan kesejahteraan kepada beliau sekeluarga. Moga beliau dirahmati dunia dan akhirat... Amin...

Rakan-rakan mungkin ingin mengetahui kenapa kemelut di Terengganu tercetus. Saya pun tidak pernah terfikir hal sebegini 'havoc' meletus lagi...Saya telah serik dengan pengalaman lampau yang begitu memeritkan. Pengalaman lama masih 'fresh' dan saya berdoa agar ia tidak berulang lagi kepada saya dan sesiapa sahaja. Saya juga hairan kenapa nama saya sering dikaitkan dengan situasi yang panas... Mungkin telah ditakdirkan di Luh Mahfuz... Saya terima dengan hati yang terbuka. Cuma saya sering berdoa kepada Allah agar menguji saya dengan perkara-perkara yang mampu saya tanggung. Kerana saya seorang hamba yang lemah dan dok rok...

...Orang mukmin tidak akan dipatuk oleh ular dua kali dalam satu lubang...maksud hadis...Fikir-fikirkanlah

Wednesday, April 15, 2009

Yang Hebat tetap Hebat

Salam bloggers...terima kasih kerana masih setia dengan blog saya. Saya berkesempatan meninjau dan membantu calon BN di Perak dalam pilihanraya kecil yang lalu. Tahniah kepada calon yang menang dan yang kalah jangan kecewa. Tunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan cara yang terbaik. Jangan hanya pandai berjanji semasa berkempen, selepas itu janji tinggal janji...sehingga 5 tahun akan datang...muncul kembali untuk tabur janji lagi. Janji tinggal janji...

Cuma saya tertarik dengan pendapat ulamak PAS dan mufti Perak yang bercanggah tentang penggunaan ayat Quran oleh orang kafir. Saya diajar oleh Tok Guru saya bahawa Al Quran tidak boleh dibaca, dipegang dan disentuh oleh mereka yang berhadas besar. Saya tidak tahu sama ada yang diajar kepada saya itu sesuatu yang songsang. Atau inilah yang dinamakan 'Matlamat menghalalkan cara'....

Tentang isu yang terjadi di Sidang Dewan pada 14hb April, sesuatu yang tidak dirancang terjadi. Tiada niat pihak kami pihak Backbencher untuk boikot sidang. Apa yang terjadi mungkin disebabkan pihak MB merasa bimbang tentang undi tidak percaya yang digembar gemburkan oleh pihak PAS. Secara jujur saya katakan, bahawa saya selaku Pengerusi backbencher tidak pernah pada sebarang masa berbincang, merancang atau bermesyuarat untuk undi tidak percaya kepada MB. Nampaknya MB terlalu paranoid...takut kepada bayang-bayang...

Berkait dengan isu tersebut juga saya dan rakan-rakan menerima banyak sms dan panggilan telefon...Ada yang memuji dan ada yang mengutuk...itu biasa...pro dan con. Saya terima dengan hati yang terbuka...yang memuji terima kasih banyak-banyak....yang mengutuk...Alhamdulillah.
Pada saya apa yang terjadi mempunyai hikmah yang tersendiri....Allah maha mengetahui.

Kata pujangga...'Kalau benih yang hebat, jatuh ke laut menjadi Pulau, tertanam didarat menjadi Gunung...terawang diudara menjadi menjadi bintang kejora...Fikir-fikirkanlah.

Tuesday, March 31, 2009

Antara Zalim dan Kuffar

Salam bloggers... Tahniah kepada DS Najib dan mereka yang telah memenangi barisan tertinggi UMNO. Parti yang telah banyak berjasa kepada umat Melayu. Saya sering mendoakan agar barisan kepimpinan baru ini mampu mengubah imej dan mengangkat martabat bangsa ke mercu kegemilangan. Ketokohan DS Najib memang tidak dapat dinafikan lagi. Beri apa sahaja kementerian pasti DS mampu mengendalikannya dengan baik dan cemerlang. Yang tidak dengan Presiden baru UMNO ini ialah tidak lain tidak bukan...pihak pembangkang. Mereka bimbang kemampuan pimpinan baru ini akan menyempitkan ruang mereka untuk menjadi pemerintah negara tercinta ini. Angan-angan akan tinggal angan-angan. Dua pembohongan tarikh menjadi bukti..Mereka tidak mampu...orang Terengganu kata' Dok rok secetong'...

Begitu juga halnya dengan TS Muhyiddin orang yang bakal ditabalkan no 2 Malaysia. Gandingan beliau dengan DS Najib dibantu oleh barisan Naib dan MT yang saya yakin barisan terbaik ini akan mampu mengangkat martabat dan kedudukan bangsa Melayu. Saya kadang-kadang hairan bin pelik apabila melihat telatah pemimpin pembangkang..terutama pembangkang Melayu yang tiada berprinsip dan bermaruah...Saya selalu bertanya kepada diri sendiri dan rakan-rakan saya dalam PAS dan PKR...Apakah keuntungan yang mereka dan Melayu perolehi daripada kemenangan DAP di Pulau Pinang. Saya menanti jawapan dari rakan-rakan bloggers pembangkang...tetapi harapan cuma tinggal harapan. Umpama menanti buah yang tidak gugur.

Yang ada cuma mereka agak marah kepada saya kerana campur urusan negeri Pulau Mutiara itu. Pada saya menjadi tanggungjawab saya sebagai orang Melayu merasa sedih dengan apa yang terjadi di sana. Menang sorak, kampung tergadai...Malang Pak Kaduk...Kepada pembangkang Melayu...yakinkah anda bahawa Pulau Pinang tidak akan menjadi Singapura no2?...Kalau tidak yakin apakah alasan anda. Walau bagaimanapun kita terpaksa menerima hakikat bahawa inilah yang dinamakan demokrasi berperlembagaan. Yang majoriti akan menang. Kuasa rakyat tiada siapa yang mampu membendungnya.

Saya bukan bermain dengan sentimen bangsa dan agama, tetapi agak malang apabila ada pemimpin Islam yang sanggup mengenepikan saudara segama sebaliknya sanggup memeluk mereka yang berlainan agama dan cara hidup...Sehingga saya difahamkan ada fatwa di negeri Perak sedikit masa dulu....' Adalah lebih baik bersahabat dengan orang kafir yang baik daripada bersahabat dengan orang Islam yang zalim'..Sejauhmana betul 'fatwa' tersebut. Wallahu Alam...kita kena rujuk kepada Majlis Fatwa...

...Sejahat-jahat muslim ia akan berakhir di Syurga...Fikir-fikirkanlah...

Sunday, March 22, 2009

Selamat Bersidang...

Salam bloggers...satu lagi malapetaka yang menimpa PKR...Kali ini di Pulau Mutiara...atau nama sebenarnya Pulau Pinang. Ramai pemerhati politik mengagak perkara ini akan terjadi. Cuma masa dan ketika sahaja yang akan menentukannya. Sekarang apa yang diagak dan dijangka benar-benar terjadi. Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang telah confirm letak jawatan. Alasan yang diberikan ialah kerana ingin melanjutkan pelajaran. Tahniah YB...menuntut ilmu bermula dari buaian hingga ke liang lahad. Dan tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China. Tetapi Ketua Menteri ialah seorang Cina. Kenapa tidak tuntut ilmu daripada YAB KM sahaja? Atau ilmu daripada YAB KM terlalu tinggi tahapnya hingga sukar digapai. Wallahu Alam...

Walau bagaimanapun saya yakin alasan yang diberi oleh YB Timbalan KM hanya sekadar alasan. Orang politik katakan. Apa yang tersembunyi disebalik alasan tersebut mungkin sesuatu yang yang tidak mampu dimaklumkan kepada umum. Demi kepentingan parti barangkali. Satu lagi perkara yang menghairankan ialah Pengerusi Perhubungan Negeri tidak tahu hal perletakan jawatan tersebut. Dua persoalan besar iaitu..apakah Pengerusi Perhubungan ada masalah dengan YB Fairuz atau Pengerusi Perhubungan sengaja tidak mahu ambik tahu. Yang pasti sejak PKR dan PR menerajui Pulau Pinang, saya dengar masalah orang Melayu di pinggirkan. Nasib bumi tidak diendahkan. Sepatutnya PAS berusaha mengambil alih Pulau Pinang daripada DAP. Saya agak terkilan kerana Tanah Melayu di urus dan ditadbir oleh bukan Melayu...Saya bukan Ethnocentric...tetapi itulah hakikatnya.

Saya baru sahaja pulang daripada Perak Darul Ridzuan...Saya tersentak apabila MB dalam buangan menampalkan 'sign' di kediaman sewanya...KEDIAMAN MENTERI BESAR...sejauhmana benar cerita tersebut, bolehlah pergi tinjau-tinjau kawasan rumah sewa DS Ahmad Nizar...kalau betul kesian kepada YB kita yang sorang ni...Tapi anggaplah ini ujian daripada Allah...Harap penyakit ini tidak berlarutan bimbang akan terus diingati oleh anak cucu kita nanti. Nauzubillah. Redhalah dengan takdir dan ketetapan Allah dan yakinlah pasti ada hikmah dan kebaikan disebalik semua kejadian.

Kepada semua perwakilan UMNO yang akan berlangsung tidak lama lagi...Selamat Bersidang...Pilihlah mereka yang mampu mengubah nasib bangsa, agama dan negara dan jangan pilih mereka mampu mengubah nasib mereka sendiri sahaja... Fikir-fikirkanlah...

Friday, March 13, 2009

STPM dan SPM..Hulu Tidak Koman

Salam bloggers...Tahniah kepada adik-adik yang berjaya dengan cemerlang dalam SPM yang diumumkan kelmarin. Alhamdulillah Terengganu masih tidak koman dalam hal ini. Saya difahamkan anak-anak dan adik adik kita yang lulus semua matapelajaran meningkat 0.25%. Hari ini 11161 orang pelajar lulus semua matapelajaran berbanding 10171. Terima kasih cikgu. Tahniah ibu bapa dan tahniah kepada semua warga pendidik yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mempastikan pencapaian ini.

Saya cukup bangga dengan pencapaian Hulu Terengganu. Pencapaian yang boleh dibanggakan sama ada dalam SPM atau STPM. Dalam STPM seorang pelajar kita dari Hulu Terengganu mendapat 4 flat...Kesemua yang mendapat pencapaian ini seluruh negeri ialah 5 orang dan salah seorang daripada Hulu Terengganu. Tahniah Siti Nabila Huda bt Abd Rashid...Anda membuktikan bahawa Hulu Terengganu hebat. Dan Tahniah SMK Tengku Ampuan Intan.

Begitu juga halnya dengan SPM...Hulu Terengganu mendapat tempat ketiga antara Daerah... selepas Besut dan Kuala Terengganu. 24 orang pelajar kita mendapat semua A...Dan saya amat berbangga apabila seorang pelajar dari SMK Menerong yang jauh dipedalaman masih mampu membuktikan kecemerlangan mereka. Tahniah...

Nampaknya hasrat kami orang politik di Hulu Terengganu yang kebanyakannya bekas Cikgu untuk menzahirkan Hulu Terengganu hebat dan Hulubalang Terengganu seolah-olah diperkenankan olehNYA. Semua ini akan tercapai dengan kerjasama semua pihak. Perjuangan ini perlku diteruskan..dan saya merasakan Hulu Terengganu boleh duduk sebaris dengan daerah elit seperti Besut dan Kuala Terengganu...InsyaAllah...

...Kata pujangga...'Usaha yang luar biasa pasti hasilnya luarbiasa...' Fikir-fikirkanlah

Monday, March 9, 2009

Maulid dan PPSMI

Salam Maulidur Rasul....moga sambutan kedatangan ulangtahun kelahiran Baginda Rasulullah saw kali ini akan menhadirkan sinar dan harapan baru dalam kehidupan kita di bumi bertuah Malaysia ini. Ramai umat Islam di seluruh dunia berarak dan bersalawat memuji kehebatan junjungan besar Nabi saw...Begitu juga kita di Malaysia dan khususnya di Terengganu Darul Iman. Orang tua, kanak-kanak, lelaki dan perempuan hadir untuk memeriahkan suasana.

Pelbagai tema direka dan dibuat untuk mendidik dan mengajar umat...Tetapi persoalannya, telah banyak kali kita berarak, benyak kali kita bersalawat dan banyak tema telah dicipta...Apakah wujud perubahan positif terhadap bangsa dan agama kita ke arah kecemerlangan? Apakah bangsa kita hari ini sehebat bangsa lain dalam ekonomi, moral dan lain-lain? Persoalan yang perlu dijawab dengan penuh keinsafan dan kejujuran.

Dalam suasana kita menyambut ulangtahun kelahiran junjungan besar kita, kita dikejutkan dengan perarakan anti PPSMI...Saya nampak pembangkang yang menjadi juara. Mereka menangguk di air keruh. Yang peliknya mereka yang dikatakan pejuang bahasa...itupun berbahasa pun tidak betul. Nak jadi pejuang bahasa konon...Memang adat pembangkang...sentiasa membangkang...kalu tidak bangkang..dok segor tuboh...kata orang Terengganu.

Dalam hal ini kita tidak boleh emosional...Sebagai umat Nabi saw...kita mesti rasional. Saya yakin adalah tidak berdosa jika kita meneruskan PPSMI. Lagipun adakah kita tidak berbangga jika anak-anak kita mampu menguasai banyak bahasa...boleh berbahasa Inggeris, Mandarin dan Bahasa Arab? Masyarakat di Eropah dapat menguasai 5 hingga 7 bahasa bahasa adalah perkara normal...Mereka boleh berbahasa Peranchis, Jerman, Swiss, Itali disamping Bahasa Inggeris. Apakah dengan PPSMI ini menunjukkan kita anti Bahasa Melayu?

Kata Hukama'...ajarilah anakmu untuk zaman mereka bukan untuk zaman kamu...Fikir-fikirkanlah.

Wednesday, March 4, 2009

Kerajaan PASOLA Atau Pasir Berdengung...

Salam bloggers...terima kasih untuk kesekian kalinya kepada sahabat-sahabat setia saya yang tidak jemu-jemu menjengah ke laman blog saya ini. Saya tahu ramai yang 'surf' walaupun tidak ramai yang hantar komen, pandangan dan pendapat...Apapun terima kasih daun keladi...lain kali tulis dan jengah lagi.

Syukur kita kepada Allah yang masih terlalu baik kepada kita. Dianugerahkan kesihatan, keselamatan dan keharmonian. Ini tiada harga yang boleh kita bandingkan. Semuanya diberi tanpa diminta sebarang balasan. Tetapi adat manusia memang jarang menghargai sesuatu yang senang diperolehi... benda subsidi katakan...

Begitu juga kerajaan negeri Pasola...kerajaan bawah pokok. Nampaknya filem Laksamana DO RE Mi masih relevan sekarang. Apakah motif diadakan persidangan di bawah pokok? Apakah untuk simpati atau untuk publisiti atau...? Kenapa pula YB Speaker memegang satu tulisan...'THE WORLD IS WATCHING'...mahu minta tolong US ke? Kenapa guna Bahasa Inggeris sedangkan diperingkat kepimpinan PR menentang penggunaan PPSMI.Banyak soalan yang perlu dijawab..semakin bolloq nampaknya...orang Terengganu sebut...Bolloq Haroq... Serabut abis reng...kusut masai....Fikir-fikirkanlah...
...Alfatihah untuk seniman P Ramlee...

Thursday, February 26, 2009

Lembu Kereta atau Kereta Lembu...

Salam bloggers...terima kasih semua yang masih setia dengan blog saya. Terima kasih juga yang sudi menyumbang idea dan pandangan kepada saya. Dengan sumbangan idea tersebut saya mampu menghisab siapa saya...'Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab'...Alhamdulillah...

Nampaknya cerita malang PKR masih belum berakhir...Satu demi satu berurutan..lepas se...se... pinjam kata orang Terengganu. Maknanya lepas satu...satu... Kenapa jadi begini? Allahu 'Alam..Hanya Allah sahja yang mengetahui.

Berita terbaru ialah siasatan Pencegah Rasuah terhadap TS Khalid Ibrahim...Menteri Besar Selangor Darulehsan...Dikatakan pihak penyiasat mempunyai bukti yang kukuh. Sejauhmana kukuh dan kuatnya bukti tersebut cuma mereka yang tahu. Apakah ini bencana terakhir untuk PKR? Wallahu 'Alam...

Apabila pihak pembangkang dikaitkan dengan rasuah, maka macam sekala lah..kata orang Terengganu pihak pembangkang akan menuduh kerajaan mempunyai niat jahat terhadap mereka. Mereka akan menuduh dengan berbagai-bagai tuduhan. Mereka kadang-kadang lupa yang mereka juga manusia biasa yang tidak dapat lari daripada salah dan silap. Mereka bukan malaikat.

Isu terbaru YAB Selangor ini, saya difahamkan ialah pembelian lembu untuk korban dan pembayaran untuk 'maintenance' Lexus beliau. Saya tidak berapa arif tentang sedekah untuk membeli lembu korban untuk diagihkan kepada rakyat dengan menggunakan wang negeri adakah akan mendapat Pahala di sisi Allah? Atau apakah sama hukumnya menderma duit yang dirompak? Berpahala atau berdosa? Ini kena tanya mereka yang arif tentang agama. Saya tidak ada autoriti untuk menjawabnya. Maaf banyak-banyak.

...Yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas...Fikir-fikirkanlah...

Saturday, February 21, 2009

Bala atau Nikmat...

Salam bloggers...Nampaknya suasana politik terutamanya pembangkang semakin 'bolloq'...rumit dan bercelaru. Di Perak, YB Speaker telah memutuskan untuk menggangtung MB dan Exco yang baru dilantik. Di Kelantan, YB Ahli Parlimen Pasir Mas diminta untuk letak jawatan...kerana dituduh tidak mengenang budi. Di Selangor, orang yang dikatakan terlibat dengan YB Eli...pinjam panggilan Ketua Pembangkang dikatakan masih belum ditemui, kononnya masih diluar negara...dan YB Eli juga akan keluar negara...menenangkan fikiran. Di Penang juga tidak kurang hangatnya apabila YB Karpal menerima satu nota bersama 2 biji peluru.

Persoalan saya, apa nak jadi dengan politik negara hari ini. Saman menyaman saban hari. Apakah ini dinamakan politik moden? Atau politik negara maju? Wallahu Alam...Mengikut Al-Quran dan ajaran agama kita bahawa sesuatu yang terjadi mesti mempunyai sebab musababnya. Kata orang tua-tua...masakan pokok bergoyang tanpa angin...walhal banyak sebab yang menjadikan pokok bergoyang. Tetapi masalahnya ialah kita dan fikiran kita tidak dapat mencapai apakah sebab musabab tersebut. Kita cuma mampu mengagaknya sahaja.

Dalam kemelut dan problem yang berlaku ini, saya pasti puncanya tidak lain tidak bukan disebabkan PR tidak sepakat. Masing-masing parti mempunyai hasrat dan hala tuju masing-masing. Tidur sebantal mimpi lain-lain. Kerana matlamat parti yang asal jauh berbeza...cuma satu hasrat dan matlamat ketika pilihanraya ke 12 yang lalu iaitu....mahu menumbangkan BN dan UMNO. Itu sahaja niat mereka...lantas Allah perkenankan niat mereka maka berjayalah mereka untuk seketika...tetapi tidak lama kemudian lakonan mereka akhirnya terbongkar...Mereka mula bercelaru dan tak mustahil akan berpecah tidak lama lagi...tunggulah

...Kita boleh berlakon untuk seketika tetapi bukan untuk selama-lamanya...Fikir-fikirkanlah

Monday, February 16, 2009

Takdir atau Kebetulan...

Salam bloggers...terima kasih semua yang setia dengan blog saya. Terima kasih afiqsyahmir...cuma saya ingin tahu daripada saudara sekolah mana di Hulu Terengganu yang masih tiada air bersih dan elektrik..Mana tahu kalau-kalau saya dan rakan-rakan pemimpin kecil Hulu Terengganu terlepas pandang. Kalau ada harap dapat maklum kepada kami. InsyaAllah apa yang baik pada rakyat maka baiklah untuk kami.

Sekali lagi PR dikejutkan dengan berita sensasi. Habis satu isu, timbul isu baru. Apalah malang nasib PKR...Isu rasuah Exco Perak hingga membawa kepada keluar parti dan runtuh sebuah kerajaan PR di Perak masih hangat diperkatakan. Sehingga saya lihat DS Nizar macam 'ayam yang gila mengeram'...masih mengaku menjadi YAB. Kita sebagai orang Islam perlu percaya dan yakin kepada Qada' dan Qadar Allah... Telah ditakdirkan YB menjadi MB tak sampai setahun...nak buat macam mana. Terimalah dengan hati terbuka. Kerana selama ini pun saya merasakan DS Nizar cuma menjalankan amanat dengan arahan dan telunjuk DAP. Maaf jika saya silap tafsir. YB DS Nizar jangan lupa bahawa YB dipilih rakyat tetapi perlantikan sebagai MB dibuat atas perkenan DYMM Tuanku.

Bala yang menimpa PR terutamanya PKR leni mesti ada puncanya. Saya tak pasti punca dan penyebabnya..Apakah kerana kesan sumpahan Saiful atau kerana memang ditakdir Ilahi...wallahu 'alam...Yang pasti isu gambar Elizabeth Wong memang tidak dapat diketepikan lagi. Elizabeth Wong mengaku yang gambar tersebut sahih gambarnya. Memang menjadi adat pembangkang selalu mengaitkan BN sebagai dalang...konon untuk memburukkan imej beliau...YB Azmin berkata PKR tiada kompromi dalam hal moral...'just wait and see...' Atau mungkin Elizabeth akan lompat parti pulak...sekali lagi...'wait and see...'

...Hanya doak sahaja yang mampu mengubah takdir...maksud hadis. Fikir-fikirkanlah.

Thursday, February 12, 2009

Hulu dan Hulubalang

Salam bloggers...saya baru sahaja membaca blog Tun M. Saya faham dan amat mengerti apa yang di maksudkan oleh Tun M tentang orang Ulu..Di Terengganu dipanggil orang Hulu...Hulu Terengganu. Saya sebahagian daripada mereka. Orang hulu disinonimkan dengan orang darat, orang pedalaman, orang kurang tamadun dan orang yang tertinggal dan terpinggir. Natijahnya orang Hulu merasa 'inferiority complex', rendah diri, rasa 'komang'...kata-kata Terengganu dan mudah tersinggung. Ini realiti yang saya rasa dan pernah saya hadapi.

Apabila bersama dengan orang luar atau orang bandar...kita merasakan segala tingkah dan tutur kata kita diperhatikan. Ini menjadikan kita serba salah. Dan menjadikan kita terasa tersekat...atau 'sakok' ...pinjam kata-kata Terengganu. Ditambah pula 'slang' bahasa kami orang Hulu dirasakan pelik dan agak lucu...menjadikan kami agak sukar untuk bertutur dan berkomunikasi. Dalam banyak hal kami lebih suka duduk diam. Kami jarang untuk meluahkan pendapat dan pandangan...kerana masalah bahasa atau slang. Alhamdulillah sekarang kita merasakan halangan ini mula dapat ditamatkan. Sekarang orang Hulu mula setanding dengan orang pekan. Kita sedang memprojeksi Hulu menjadi HULUBALANG...InsyaAllah

Alhamdulillah...segala kesulitan dan rasa rendah diri orang Hulu telah mula terhakis dari semasa ke semasa. Kesan daripada teknologi dan kerja kuat pemimpin-pemimpin masyarakat... Kemudahan infra di Hulu Terengganu leni memang antara yang terbaik. Saya dan adik ke sekolah pada 1971 dengan berjalan kaki merentasi baroh padi seluas lebih kurang satu kilo dengan membimbit kasut putih di tangan. Menggunakan batas padi sebagai jalan. Masih
jelas di benak fikiran saya ketika padi masak, kami akan kebasahan dek embun di pagi hari. Dan ketika itu kami tidak pernah terbayang yang suatu ketika nanti sebatang jalan premix akan sampai di hadapan rumah saya...untuk kemudahan...Alhamdulillah...hari ini ia menjadi kenyataan.

Sekadar kenangan untuk pengajaran kepada saya dan adik-adik, serta rakan-rakan...agar kita tidak lupa dari mana kita datang. Dan tidak lupa daratan...Alhamdulillah syukur saya kepada Allah swt. Coretan ini adalah sekadar berkongsi pandangan....Terima kasih saya kepada pemimpin dan penghargaan saya kepada UMNO dan Barisan. Saya penuh yakin kerana merekalah kami dapat menikmati segala kemudahan yang tidak pernah terfikirkan...
Kalau ada yang mengatakan bahawa tahun 1971 lebih baik dari 2001...pada saya adalah sesuatu yang amat malang...

...kerumitan, kesusahan dan keperitan menjadikan kita lebih matang...Fikir-fikirkanlah

Saturday, February 7, 2009

Daulat Tuanku

Salam bloggers....malam tadi saya melihat suasana 'bolloq' pinjam kata-kata Terengganu di hadapan istana Bukit Chandan Perak. Suasana yang tidak pernah difikirkan oleh mana-mana orang Melayu di Malaysia. Saya difahamkan 10 repot dibuat berdasarkan peristiwa semalam. Suasana tersebut sekali pandang macam berlaku di Palestine dan kebetulan ada dikibarkan bendera negara tersebut. Saya tak faham kenapa negara tersebut dikaitkan dengan suasana ini.

Tahniah YAB Dato Zambri Kadir kerana telah dilantik menjadi MB Perak. Menjunjung kasih ke bawah DYMM Al Sultan Perak yang pada saya telah membuat satu keputusan yang bijaksana. Kebawah DYMM Tuanku yang begitu telus dalam menyelesaikan kemelut politik Perak...Mengizinkan wartawan mengambil gambar YB datang mengadap kebawah Duli Tuanku Sultan Perak. YB yang keluar parti.

Saya menerima satu sms yang mengatakan bahawa sekarang telah wujud 'Ali Baba' dalam politik Malaysia. Kalau dulu 'Ali Baba' dalam perniagaan sekarang 'Ali Baba' dalam politik pula. Saya tidak tahu sama ada benar atau tidak tanggapan tersebut. Apakah ia benar 'Ali Baba' atau 'Ali Muthu'...wallahu allam...

Kepada YAB MB Perak yang baru, betulkan niat, kuatkan tekad dan teruskan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. Perahu telah diair, pengayuh telah di tangan maka kayuhlah ke destinasi yang diredhai Ilahi...Amin.

...Semua amalan mesti dengan niat...maksud hadis...Fikir-fikirkanlah.

Friday, January 30, 2009

Blog Kepimpinan Negeri Terengganu - YB Ust Hj Muhammad Ramli

Salam bloggers..saya ingin mengucap selamat menulis kepada YB Ust Hj Muhammad Hj Nuh sahabat seperjuangan dalam kepimpinan UMNO/BN Negeri Terengganu diatas mewujudkan blognya sendiri.


Semoga, kita dapat sama2 membantu perjuangan dan memberi informasi yang betul kepada rakyat berkaitan dengan isu-isu yang diputar belit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab khusus pembangkang.

Insya-allah, semoga usaha kita ni dapat diberkati oleh Allah swt.

Dimana Keutamaan/Awlawiyyah...

Salam bloggers...hari ini banyak isu yang ingin saya kongsikan bersama. Semoga sedikit sebanyak akan membuka minda kita ke arah perjuangan yang lebih matang dan terarah. Saya tertarik dengan cadangan UMNO bahagian Besut dalam mesyuaratnya bahawa jawatan-jawatan penting di dalam UMNO Malaysia tidak dipertandingkan. Ini adalah untuk mempastikan UMNO pulih sepenuhnya dan bersedia untuk menghadapi cabaran mendatang dengan lebih berjaya.

Ini bukan bermakna saya menyokong bekas bos saya. Pada saya apa sahaja yang baik untuk parti dan rakyat saya akan sokong walaupun ia datang dari pihak musuh saya. Saya bukan pandang siapa yang mencadang atau bercakap tetapi saya nilai apa yang diucapkan. Saya yakin apa yang diutarakan oleh UMNO Besut adalah cara terbaik untuk UMNO dan orang Melayu.

Serentak dengan itu kita dapat tahu beberapa calon jawatan tertinggi itu terus memberi respon. Saya tidak tahu kenapa mereka bertindak demikian. Mungkin kerana mereka yakin untuk membantu pucuk pimpinan ke arah mengukuhkan parti atau mungkin merasakan sesuatu yang malang kerana telah banyak 'pelaburan' dikeluarkan untuk jawatan tersebut sejak berbulan-bulan dulu...Wallahu alam...

Pada saya mana-mana negeri yang kalah, lebih baik tumpukan kepada usaha memulihkan parti di peringkat negeri. Selepas dapat memulihkan dan menawan semula negeri, barulah kita berusaha untuk merebut jawatan penting dalam UMNO Malaysia. Maaf...ini cadangan saya sahaja. Kerana pada saya keutamaan dalam keadaan sekarang ialah usaha menawan kembali negeri-negeri yang kalah. Tiada maknanya kemenangan dalam negeri atau negara yang kalah...

Dalam keadaan sekarang saya ingin ucapkan tahniah kepada YB DS Tajol Rosli kerana merasa bertanggungjawab atas YB Nasaruddin yang melompat parti. Pada saya tindakan DS Tajol adalah sesuatu yang bertanggungjawab dan berhemah. Jarang sekali kita bertemu dengan pemimpin seperti ini. Biasanya apabila sesuatu yang buruk berlaku, ketua selalu mencari orang lain untuk dikambing hitamkan. Ini biasa dalam dunia akhir zaman ini....Zaman jawatan direbut dan dilobi...

'...Kelemahan umat hari ini disebabkan kita tidak tahu keutamaan/Awlawiyyah....'Yusof Qardawi....Fikir-fikirkanlah

Thursday, January 22, 2009

Baiki Nawaitu...

Salam bloggers...Nampaknya blog saya semakin meriah selepas peristiwa P036. Terima kasih rakan-rakan yang memberi komen dan ulasan serta pandangan terhadap isu yang saya utarakan. Terima kasih daun keladi...lain kali komen lagi.

Selepas sahaja keputusan P036 di umumkan maka banyak pendapat dan pandangan diutarakan. Ada yang mengatakan bahawa 'post-mortem' perlu disegerakan... Ada yang mengatakan bahawa tidak perlu 'post mortem' kerana sebab-musabab kekalahan telah jelas diketahui. Saya tidak mahu komen apa-apa kerana kerana saya faham kedua-dua pendapat tersebut ada justifikasinya masing-masing.

Pada saya kita tidak perlu terlalu meratap tentang sebuah 'kematian' kerana esok masih ada. Yang patah akan tumbuh dan hilang akan berganti. Jadikan 'kematian' itu sebuah pengajaran yang berguna untuk langkahan seribu ke depan. Cukuplah kita menuding jari menyalahkan orang lain kerana faedahnya tiada. Yang ada cuma keburukan dan pekung sendiri akan terbuka. Musuh kita cuma menunggu masa terbaik untuk membaham kita.

Untuk itu marilah kita perbaiki nawaitu kita, bulatkan tekad dan azam kita dan fokuskan matlamat kita untuk agama, bangsa dan tanah air...dan terakhir...tawakkal kepada Allah...InsyaAllah selamat dunia dan akhirat....

...Setiap amalan kita mesti dengan niat...maksud hadis....Fikir-fikirkanlah

Monday, January 19, 2009

IKTIBAR P036

Salam bloggers...terima kasih kepada kawan-kawan yang masih setia...keputusan pilihanraya P036 telah diketahui umum. Ada yang suka dan ada yang berduka. Orang PAS suka sampai ke telinga. Gembira bukan main...Mereka berarak mengelilingi bandaraya Kuala Terengganu. Dan yang paling tidak enak dipandang, saya difahamkan mereka menjatuhkan bendera Dacing dan UMNO di 'Wakaf Beruas. Pada saya satu tindakan yang tidak wajar...Sepatutnya mereka bersyukur dengan kemenangan yang diperolehi. Kemenangan bererti amanah.

Bagi penyokong dan pekerja pengundi BN...perasaan kecewa tidak dapat dinafikan lagi...Walau apa pun terimalah keputusan rakyat dan pengundi itu dengan hati yang terbuka dan redha. Yang penting marilah belajar daripada kesilapan dan kelemahan yang mungkin wujud daripada pilihanraya ini... demi menghadapi cabaran mendatang yang saya yakin lebih besar dan lebih perit.

Sesuatu yang biasa, apabila menerima kekalahan semua pihak yng terlibat akan membuat pemeriksaan kendiri...atau 'post-mortem'...dibedah disana sini untuk mencari punca dan sebab sesuatu kekalahan itu. Persoalannya sejauhmanakah tindakan susulan diambil untuk mengubatinya. Apakah bedah siasat itu hanya tinggal bedah siasat sahaja?

Antara dapatan dan komen yang diborakkan di kedai-kedai kopi punca kekalahan BN ialah jentera yang kurang mantap, bahagian Kuala Terengganu yang kurang berkesan dan Jenderal Perang yang kurang daya tahan. Seorang rakan SMS kepada saya menulis bahawadalam pilihanraya P036 ini, sebenarnya BN dan UMNO telah tewas 25% sebelum hari mengundi kerana membenarkan Stadium Negeri menjadi tempat pengumuman calon PAS. Ditambah pulak tempat dan lokasi itu juga tempat penamaan calon dan tempat pengumuman keputusan. Dikatakan adalah lang yang paling tidak bijak dengan membenarkan PAS di situ. Sejauhmana benar alasan tersebut... Wallahu 'Alam...

Nampaknya rakyat dan pengundi hari ini tidak lagi termakan dengan projek infra yang dibawa..walaupun kadar kemiskinan kita telah bertambah baik daripada semasa zaman PAS dahulu namun data tersebut tidak membawa apa-apa makna kepada BN. Kita sekarang bukan lagi negeri kedua termiskin di Malaysia...Alhamdulillah...

Kepada pendokong dan pejuang UMNO dan BN...ayuh marilah kita baiki imej dan maruah kita yang tercalar di Kuala Terengganu... Keikhlasan tuan-tuan dalam perjuangan ini merupakan aset terpenting kejayaan parti pada masa depan...walaupun saya tahu amat sukar untuk mencari pejuang yang luhur dan ikhlas....Ketahuilah bahawa dalam semua kawasan pilihanraya di Bandaraya, hanya Bandaraya Johor Bharu sahaja...wakil rakyatnya daripada BN...

....kerja yang sukar selepas mendapat kemenangan ialah mempertahankan kemenangan...Fikir-fikirkanlah

Saturday, January 10, 2009

P36

Allamdulillah, kerana anda masih menjenguk ruang ini. 6 Jan 2009, proses pernamaan calon untuk pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu (P36). Syukur, UMNO/BN telah mencalonkan orang muda iaitu Dato'Wan Farid Wan Salleh. Beliau selaku Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu pada pemilihan lepas dan berjaya mengekalkan Ketua UMNO tanpa bertanding. Syabas..

Saya selaku sahabat dalam perjuangan parti keramat melayu UMNO, berdoa kepada Allah swt agar diberi kemenangan kepada sahabat saya ini Dato'Wan Farid Wan Salleh. Beliau adalah orang kuat bekerja serta mudah didekati oleh segenap lapisan masyarakat dan saya menafikan bahwa pakatan rakyat menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang sombong, tidak ramah dan sebagainya. Itu adalah pembohongan semata-mata.

Saya juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menubuh satu fakulti baru di Universiti Darul Iman ( UDM ). Fakulti tersbut adalah penting bagi kita semua, iaitu Fakulti Perubatan & Kesihatan. Insya-allah, Negeri Terengganu bakal akan menjadi gedung ilmu dan kebanjiran pelajar dari dalam mahupun luar. Inilah kepintaraan kerajaan BN merancang dan mempunyai perancangan untuk membangunkan negeri Terengganu.

Terengganu pernah mengalami zaman kegelapan pada sekitar tahun 1999 - 2004 dan berjaya pulih balik pertengahan 2004. Namun, 4 tahun masa berlalu banyak benda Terengganu ketinggalan dalm segala aspek bidang. Dengan pentadbiran yang diterajui oleh Mantan Menteri Besar dan seterusnya diteruskan oleh YAB Dato'Ahmad Said ternyata BN mampu mempunyai kerajaan yang efisien, dinamik dan kreatif.

Insya-allah, sama-sama kita doakan agar Dato' Wan Farid Wan Salleh diberi peluang untuk ke Parlimen untuk membawa isu-isu dan permasalah dari rakyat khususnya di Parlimen Kuala Terengganu. Saya berjanji akan berganding bahu agar usaha , visi dan misi yang akan diterajui nanti berjaya dengan cemerlang. Kuala Terengganu adalah ibu Negeri Terengganu. Di sini lah pusat pentadbiran dan di sinilah pusat pelancongan pelancong dari dalam mahupun luar.


Pikir2..kepada pengundi P36,tunaikan kewajipan anda di kawasan tersebut. Silap memilih, maka silap la...

Tuesday, January 6, 2009

Orang Ayahcik...

Salam bloggers...hari ini telah 5 hari parti yang bertanding berkempen. Keadaan masih terkawal. Alhamdulillah...Kedatangan pasukan keselamatan yang agak besar jumlahnya banyak membantu keadaan dan ketenangan ini. Sehingga kini tidak terdengar sebarang perkara yang tidak baik sebagaimana berlaku dalam pilihanraya umum yang lalu. Peristiwa bergaduh, bertumbuk dan ancam mengancam setakat ini tidak kedengaran lagi. Terima kasih pasukan keselamatan. Moga jasa dan khidmat kalian diberkati Tuhan yang Maha Esa. InsyaAllah.

Pun begitu terdapat suara sumbang tentang kedatangan pasukan keselamatan ini. Ada yang menuduh calon BN menggunakan kedudukan sebagai Timbalan Menteri. Memang begitulah perangai pembangkang dan mereka yang menyokong pembangkang. Orang Ayahcik katakan...Mereka selalu melihat dari sudut negatif. Apa salahnya jika kedatangan mereka akan mempastikan keamanan masyarakat di sini kerana pengalaman Pilihanraya Umum yang lalu banyak mengajar kita siapa PAS dan pembangkang sebenarnya.

Pada saya, kedatangan pasukan keselamatan ini mengembirakan pekedai dan peruncit. Banyangkan 5000 anggota berbelanja RM5 sahaja sehari...sudah berapa banyak duit mengalir di bumi Darul Iman ini dalam masa 2 minggu. Berapa ramai tuanpunya rumah sewa dan home stay senyum sampai ke telinga sekarang? Inilah dikatakan rezeki bergolek yang tidak pernah terfikir oleh sesiapapun kecuala Yang Maha Esa.

Begitu juga halnya dengan satu peristiwa pelik tetapi benar. Cerita ini dimaklumkan kepada saya dan rakan-rakan oleh seorang Timbalan Menteri. Selepas hari penamaan calon 6hb yang lalu, beliau bertemu dengan jenteranya di sekitar Chendering. Beliau minum-minum bersama kawan-kawan di dalam salah satu daripada 3 tiga deretan warung di situ. Dengan rasa murah hati, beliau ingin membayar atau orang Terengganu kata 'belanja' untuk mereka yang minum di di situ. Maka ketiga-tiga tuan punya warung itu pun menmgemukakan bil bayaran masing-masing. Warung yang pertama jumlahnya ialah RM43.50. Warung nombor dua Timbalan yang Menteri itu bayar RM103.20 dan warung nombor 3.....Timbalan Menteri ini 'terkejut bewok'...apabila diberitahu jumlah yang kena belanja RM124o.80....Pada hal mereka yang minum disitu kurang berbanding warung nombor 2.
Kenapa jadi begitu...jawapan seorang rakan yang biasa di sekitar itu...warung ketiga itu adalah milik orang kuat Ayahcik...Sejauhmana betul...wallahu alam

'Orang mukmin tidak akan dipatuk ular dalam satu lubang 2 kali'....maksud hadis.Fikir-fikirkan...

Sunday, January 4, 2009

Selamat Tahun Baru 2009 dan Amal Jariah

Salam bloggers...terima kasih kepada kekawan yang sudi menjengah blog saya. Terima juga kepada pelajar-pelajar dan mahasiswa Eropah Timur. Komen dan pandangan saudara amat saya hargai dan menjadi sikap saya untuk publish semua tanpa edit. Diharap rakan rakan bloggers berpuashati dengan karenah dan isu-isu yang saya utarakan. Mana-mana yang tersilap dan tersalah saya pohon kemaafan sempena tahun baru Hijrah dan Masihi. Harap kita akan membuka buku baru dan lembaran baru... dengan menjadikan segala pengalaman yang lalu sebagai panduan dan sempadan.

Sambutan tahun baru 2009 cukup meriah. Malangnya keesokan harinya...pada 1hb kita dikejutkan dengan berita yang menyedihkan...ramai yang ditangkap kerana aktiviti tidak bermoral dll. Ini amat mengecewakan. Persoalannya dimanakah silapnya? Apakah ini kesilapan kerajaan yang memerintah atau kesilapan keluarga yang mendidik, atau kesilapan masyarakat tempat mereka tinggal?

Selalunya apabila sesuatu musibah begini terjadi, kita akan mendengar suara-suara yang mengatakan kerajaan yang silap. Pemimpin yang salah. Apabila remaja menghisap dadah, kerajaan juga disalahkan. Apabila gagal peperiksaan juga kerajaan juga dikutuk. Betulkan begitu?. Inilah fenomena kita...sering menuding jari menyalahkan orang lain. Kita jarang bermuhasabah diri sendiri. Jika dikatakan sistem pendidikan kita yang ter'peweng'...Saya yakin semua lepasan sekolah di Malaysia telah dan akan rosak. Termasuk mereka yang menuduh itu sendiri. Kerana sipenuduh itu juga lahir daripada sistem pendidikan negara ini. Kalau saya tersilap, maafkan saya.

Saya sebagai bekas guru, terasa satu evolusi dalam berpakaian terbentuk dalam sistem pendidikan kita. Kita tidak pernah memaksa pelajar-pelajar bertudung...tetapi Alhamdulillah hari agak sukar untuk kita melihat pelajar-pelajar perempuan mendedahkan rambut di sekolah. Satu kejayaan 'Dakwah bil Hal'...Inilah yang dilaksanakan oleh Rasul saw. Kesannya cukup mendalam. Dan inilah cara dan pendekatan yang dilaksanakan pemerintah. Kita tidak mahu terburu-buru dalam sesuatu perkara. Kita kena bijak dan berhemah. Jika tidak peristiwa yang berlaku di Thai tidak mustahil terjadi di sini...Nauzubillah...

Perkhidmatan ini adalah sedekah jariah kita. Sedekah Jariah kita akan menjadi bekal kepada kita nanti. Sedekah jariah pemimpin-pemimpin kita. Mereka kurang bercakap tetapi banyak membuat...Lantas kita kena menang dalam Pilihanraya agar kita dapat meneruskan khidmat Jariah kita...InsyaAllah

Kata pujangga"...Perkara yang terbaik dalam hidup kita ialah membuat sesuatu yang berkekalan dan lebih lama dari hayat kita"....Fikir-fikirkanlah....