Sunday, August 22, 2010

Lapan atau Dua Puluh...

Salam bloggers... dan salam Ramadhan... Bulan Ramadhan menjengah lagi... Alhamdulillah kita panjatkan syukur kepada Yang Maha Esa kerana masih sudi meminjamkan kita roh dan jasad untuk kita bersua dengan Ramadhan kali ini...Di kesempatan ini marilah kita bertafakkur sejenak untuk kita bacakan Ummul Kitab tujuan untuk dihadiahkan kepada ibu bapa kita, guru-guru kita, sahabat-sahabat kita, pemimpin-pemimpin kita sama ada mereka masih hidup atau mendahului kita. Kita pasti kita akan mengikuti jejak-jejak mereka nanti. Firman Allah bermaksud... 'Apabila datang ajal kamu sesungguhnya ia tidak akan lewat walau satu saat dan juga tidak akan dipercepatkan walaupun satu saat...'

Terima kasih dengan teman setia blog saya...Putrahman... tentang cadangan untuk re premix jalan pasir nering dan Dusun... InsyaAllah akan saya bawa dalam mesyuarat Tindakan Daerah bulan depan. Kesian penduduk-penduduk kampung P Nering dan Dusun... Saya tidak tahu di mana silapnya. Tetapi saya yakin pembangunan dua kampung ini akan menjadi lebih pesat apabila jambatan Dusun dan Tg Baru siap nanti. Saya difahamkan bahawa Dusun juga akan mendapat masjid baru nanti. Cuma harapan saya agar pembangunan ini tidak dicemari dengan masalah sosial seperti dadah dan sebagainya. Kenapa saya berkata demikian kerana setakat yang saya tahu apabila jalan dan laluan dibaiki dan diperelokkan maka mudah untuk 'pusher' masuk dan menjalankan urusniaga... Nauzubillah...

Kadang-kadang saya merasa hairan kerana kampung-kampung yang mempunyai jalan mati... orang Terengganu panggil kampung 'hujung sut sekali'...ertinya tiada lagi kampung selepas kampung tersebut...masalah dadah jugak wujud di sana. Saya lagi terperanjat apabila pihak AADK dan kesihatan melaporkan bahawa di kampung-kampung tersebut ada kes HIV positif...Persoalannya di manakah silapnya.

Sempena hari baik dan bulan baik ini, marilah kita sama-sama ingat-mengingati agar kita dan keluarga kita terhindar daripada masalah nombor satu negara ini. Marilah kita berdoa agar peristiwa anak mengugut ibu untuk dapat duit beli dadah, Suami pukul isteri dan anak untuk dapatkan duit beli dadah...curah asid dan sebagainya yang berlaku baru-baru ini adalah yang terakhir di daerah ini dan di negeri ini. Sekarang bukan masanya menuding jari menyalahkan orang lain. Yang terbaik ialah menuding jari menghisab kelemahan sendiri untuk dibaiki. InsyaAllah jika kita mempunyai niat untuk membaiki diri, saya yakin Allah akan tunjukkan jalanNYA untuk kita... terutama di bulan puasa yang mulia ini.

Apabila disebut bulan puasa ia tidak dapat lari dari Terawih... Cuma saya rasa sesuatu yang agak berlainan apabila saya ke masjid dan surau untuk bertarawih dua suasana berbeza terjadi... Surau dan Masjid yang bertarawih 8 rakaat agak lebih meriah dan 'happening' dengan kanak-kanak dan remaja. Kalau begitulah halnya demi untuk menarik remaja dan anak-naka ke masjid apa salahnya kita laksanakan apa yang menarik untuk mereka...Ini sekadar pandangan peribadi saya...

Rasanya tidak terlalu awal untuk saya ucapkan selamat Aidilfitri kepada semua kenalan dan taulan dan kepada peminat blog saya. Di kesempatan ini juga dan san seluruh keluarga saya ingin menyusun sepuluh jari memohon keampunan mungkin sepanjang saya menjadi pemimpin kecil di Hulu ini ada yang terkasar kata tersasul bicara...keampunan jua saya pinta...Saya juga dengan dada terbuka memaafkan apa sahaja terhadap saya...Jika ada kelapangan dijemput ke rumah saya pada Raya Ke-2 InsyaAllah...

'...Bumi mana tak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelombang, kemapunan jua dipohonkan...'

Friday, August 6, 2010

Muliakah Tangan Yang di Bawah

Salam bloggers... Tidak lama lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak...Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan...Puasa belum mula lagi, dentuman mercun sudah kedengaran. Harap-harap tahun ini, tiada lagi peristiwa ngeri akibat main mercun...terutama di Negeri Darul Iman. InsyaAllah...Saya tidak tahu kenapa main mercun ini seakan akan satu budaya perayaan kita sejak dahulu, sekarang dan mungkin akan datang. walau pun banyak mercun dan bunga api telah dirampas oleh pihak berkuasa...Dalam hal ini peranan ibu bapa amat penting.



Apabila dikaitkan dengan ibu bapa, saya isu hangat sekarang ialah kahwin muda dan sekolah untuk pelajar hamil. Ini satu isu baru. Saya secara peribadi menyokong hasrat kerajaan Melaka memberi insentif kepada remaja yang mahu berkahwin. Ini sekurang-kurangnya akan menyelesaikan masalah sosial di kalangan remaja kita. Tetapi mereka yang ingin melangkah ke alam tersebut mestilah telah bersedia dari segi emosi, material, dan iman dan tahu tanggungjawab. Ertinya perkahwinan bukan semata-mata untuk keseronokan tetapi untuk menambah ummah nabi yang berkualiti dan mengamalkan sunnah Rasul saw dan tuntutan agama.



Berkaitan dengan agama, beberapa hari yang lalu saya dan ahli Parlimen Hulu Terengganu dijemput oleh MAIDAM Hulu Terengganu untuk sama-sama mengihkan zakat kepada Fakir dan miskin DUN Ajil. sebanyak RM250,ooo.00 diagihkan. Seorang penerima mandapat RM350.00 seorang. Kalau tahun lepas agihannya RM250.00 sahaja...Yang ironinya ialah beberapa jam selepas pengagihan tersebut, saya mendapat banyak penggilan telefon mempersoalkan kenapa ibu atau ayah mereka tidak tersenarai mereka yang layak. Sukar untuk saya memberi jawapan kerana yang mengadu itu saya kenal. Rata-rata penjawat awam bergaji lebih RM2000.00. Saya kurang pasti aduan tersebut disebabkan oleh desakan si ibu atau ayah mereka atau atas kehendak mereka.Wallahu 'Alam...



Saya juga merasa terharu kerana ada segelintir daripada penerima yang tersenarai datang berjumpa saya dan pegawai MAIDAM, memohon agar nama mereka dikeluarkan daripada penerima list zakat kerana mereka telah terkeluar dari asnaf Fakir dan Miskin. Syabas... Walaupun golongan ini tidak ramai tetapi kita doakan agar ia akan bertambah dari semasa ke semasa.



...Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah...Sampai bila kita akan menjadi bangsa yang suka meminta-minta....Fikir-fikirkanlah...