Thursday, March 25, 2010

Tanah dan Maruah

Salam bloggers... salam satu Malaysia dan salam sejahtera...terima kasih kepada rakan yang hantar komen dan pandangan. Terima kasih Jusohmatlazin, Tok Raja Ri dan Kenyir...Cuma saya tertarik dengan komen kenyir... saya harap beliau dapat hubungi saya tentang masalah tanah lot. Saya kurang pasti tanah lot yang mana satu. InsyaAllah saya akan buat yang terbaik untuk kebaikan semua. Itulah amanah yang diberikan kepada saya. Kepada orang Melayu, tanah adalah maruah. Ramai saudara dan adik beradik berkelahi kerana tanah. Terutamanya tanah pusaka. Ini sesuatu yang amat memalukan. Rata-rata bila ditanya kenapa hubungan keluarga renggang...jawapannya tak lain dan tidak bukan, kerana masalah perebutan harta dan pusaka. Nauzubillah...Harap-harap generasi muda Melayu khususnya Melayu Terengganu tidak akan lagi tergolong dalam kemelut ini InsyaAllah...



Jawatankuasa Tanah Daerah Hulu Terengganu bermesyuarat sebulan sekali untuk meluluskan permohonan tanah rakyat Hulu Terengganu. Kadang-kadang apabila permohonan terlalu banyak, mesyuarat diadakan 2 kali seminggu. Ada permohonan untuk tanah haram, untuk tapak rumah dan untuk pertanian. Alhamdulillah kami JK Tanah Daerah setakat ini meluluskan semua tanah yang memenuhi syarat permohonan. Dan di Ajil, kita menyediakan tanah dan rumah untuk PPRT. Setakat ini 10 buah telah siap dan diduduki dan 5 buah lagi dalam pembinaan. Tapaknya bersebelahan Kilang Latitude Tree kawasan industri Ajil. Rumah dan tanah diberi percuma. Betapa baiknya hati dan kerajaan BN diterajui UMNO... Alhamdulillah. Nampaknya mereka bersyukur kerana memiliki rumah tersebut. InsyaAllah kita akan tambah lagi pembinaannya dalam masa terdekat.



Berkenaan dengan permohonan rumah PPRT ini, saya mendapat banyak pertanyaan kenapa kerajaan mensyaratkan mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas sahaja yang boleh memohon. Ini adalah syarat baru. Jawapannya ialah mereka yang kurang 40 tahun dianggap masih muda dan mampu untuk berdikari. Di samping itu kita juga ingin mendidik agar jangan terlalu bergantung kepada kerajaan dalam usia yang masih gagah dan tubuh segor-megor...Lainlah kalau OKU. Begitu juga kita akan rasa malu ke diri sebab masih muda duduk di rumah subsidi. Saya teringat kata-kata seorang sahabat 'bahawa orang Acheh tidak ada yang menjadi peminta sedekah, sebab mereka merasa terhina dan tidak bermaruah dengan pekerjaan tersebut' Sejauhmana benar cerita sahabat saya itu...Wallahu Alam...



Tentang tanah dan rumah juga saya ingin war warkan bahawa pejabat tanah akan mengadakan temuduga kepada mereka yang layak untuk memiliki rumah PPSK Menerong yang masih kosong 35 buah lagi. JK menggariskan antara syaratnya ialah keutamaan diberi kepada penduduk sekitar Menerong, Gunung, Betong dan kawasan yang sewaktu dengannya. Kenapa? Jawapannya kerana tanah asal penempatan tersebut di terokai oleh nenek moyang daripada kampung-kampung tersebut. Maka adalah wajar keutamaan diberi kepada anak cucu mereka. Tapi JK telah dapat merasakan betapa 'rohok' untuk membuat pemilihan nanti. Cuma saya minta kerjasama Felcra Wilayah Terengganu agar mengambil tindakan kepada mereka yang telah dapat rumah tersebut pada fasa pertama dulu tetapi masih tidak tinggal di situ. Ini tidak sepatutnya terjadi.

'... Manusia yang baik ialah manusia yang banyak manfaatnya kepada manusia lain'...Maksud hadis...Fikir-fikirkanlah

Saturday, March 13, 2010

Bukan Senang Nak Senang

Salam bloggers..salam satu Malaysia...Terima kasih kepada kawan-kawan dan peminat blog saya ini. Pengunjungnya semakin meningkat Alhamdulillah walaupun saya kurang berkesempatan untuk mengemaskini dengan kerap. Terima kasih Afiq, kenyir, putrarahman dan anti rosol.. Saya dapat merasakan bahawa saudara saudara walaupun memberi pandangan negatif dan prejudis tetapi saya tetap menerimanya dengan syukur. Kerana saya tahu bahawa saya tidak maksum.

Apa yang saya tulis di sini berkenaan apa-apa tajuk pun adalah pandangan peribadi saya setelah saya mendengar dan berbincang dan berbual bersama rakan-rakan. Jadi hasil daripada perbincangan sama ada secara langsung atau tidak langsung itu saya analisis dan saya buat rumusan sendiri. Saya sebagai pemimpin kecil di Hulu Terengganu ini...setakat ini telah melaksanakan beberapa agenda untuk rakyat. Secara umumnya saya merasakan agak puas walaupun masih banyak yang belum selesai.

Berkenaan dengan peneyelesain tanah yang tertunda hampir 30 hingga 40 tahun Alhamdulillah telah selesai. Tanah Kelompok di Jak, di Bukit Apit dan di Sungai Binjai telah selesai. Tanah kubur baru di Jak dan Sungai Mali juga selesai. Kesian penduduk Sungai Mali yang terpaksa menumpang kebumi di kampung Bukit Perpat dan Wakaf Tapai. Perlu dimaklumkan bahawa ini bukan usaha saya secara solo. Saya dibantu oleh kawan-kawan di Pejabat DUN dan Pejabat Tanah dan Pejabat Daerah di samping JKKK. Mereka banyak membantu. Tiada apa yang mampu saya ucapkan kepada mereka selain ucapan setinggi-tinggi terima kasih. Budi kalian hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya Insya Allah.

Sedikit masa lagi bandar Ajil akan tersergam. Ditambah pula dengan siapnya jalan dua hala Kuala Terengganu- Kuala Berang. Dan 'interchange' LPT 2 juga akan terbina di Ajil... Nampaknya bertuah sungguh orang dan masyarakat Ajil. Ini semua anugerah Allah swt. Cuma berapa ramaikah antara kita yang mampu bersyukur. Kedai belum lagi dibina tetapi telah ramai mereka yang berminat untuk memilikinya. Saya serah kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikannya.

Saya juga merasa bersyukur dengan kerjasama rakyat Ajil maka tiada masalah besar yang timbul. Pada saya pemimpin-pemimpin kampung dan cawangan di DUN Ajil cukup hebat dan berwibawa. Alhamdulillah hari ini saya boleh berbangga tiada lagi rumah orang Ajil yang beratap daun dan bertiang bulat. Membasmi kemiskinan adalah agenda peribadi saya kerana saya berasal dari keluarga miskin. Saya tahu dan mengerti apa itu miskin... kerana saya mengalami dan melaluinya.

Lantaran itu saya yakin dengan Firman Allah bahawa Allah akan mengangkat beberapa darjat orang-orang yang berilmu dan beriman. Dengan pendidikan dan ilmu kita dapat mengangkat martabat kita dan bangsa kita. Dengan bantuan kerajaan melalui JPA, saya mampu ke peringkat tertinggi walaupun sekadar Sastera dan Sains Sosial. Kerana saya yakin tanpa bantuan kerajaan ayah dan keluarga saya tak mampu untuk menghantar saya ke sana. Alhamdulillah... syukur saya kepada Allah dan terima kasih saya kepada ibu ayah dan kerajaan BN.

Hari ini saya bangga kerana ramai anak Melayu yang mendapat 'straight A's'.. Tahniah anak-anak sekelian...Kejayaan anda adalah kejayaan Umat Melayu Islam. Pesan saya agar jangan lupa daratan dan banyak-banyaklah bersyukur dan laksanakan sujud syukur. Perjalanan anak-anak baru saja bermula dan ia masih terlalu jauh untuk sampai...SELAMAT MAJU JAYA...

...'Bukan senang untuk senang...' Fikir-fikirkanlah